Home ASIA Malaysia 3 Hari 2 Malam Trip Jelajah Warisan Minang di Beranang Selangor

3 Hari 2 Malam Trip Jelajah Warisan Minang di Beranang Selangor

786
0

Masyarakat Minang terkenal dengan budaya merantau, dan salah satu wilayah yang menjadi daerah rantaunya adalah Negeri Sembilan yang ada di Malaysia. Namun ramai yang tidak tahu masyarakat Minang sebenarnya wujud di Negeri Selangor juga.

Sempena dengan bulan kemerdekaan tahun ini, jom sama-sama kita jelajah lokasi warisan dan budaya di Negeri Selangor. 

Terletak di daerah Sepang, Beranang merupakan salah satu mukim dan bandar di sini yang mempunyai penduduk Minang yang ramai. Menurut sejarah pada satu ketika dahulu kawasan ni termasuk di dalam Negeri Sembilan. Sebab itulah, penduduk di sini ramai yang berketurunan Minang.

Baru-baru ini Gaya Travel bersama Pertubuhan Media Negeri Selangor telah mengadakan satu trip bagi mengangkat kembali tradisi yang semakin dilupakan oleh masyarakat sekarang.

Baralek Gadang dalam bahasa minang membawa maksud kenduri besar-besaran. Kenduri ini melibatkan seluruh penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau bersama bergandingan bahu untuk menjayakan kenduri kahwin kali ini.

Bermula dari menyediakan bahan-bahan untuk kenduri sehinggalah proses penyembelihan kerbau serta penyediaan majlis perkahwinan semuanya dibuat sendiri oleh penduduk kampung.

Seminggu sebelum majlis perkahwinan, penduduk kampung akan mula bergotong-royong untuk persiapan perkahwinan melalui adat orang Minang. Aktiviti ini sudah jarang kita boleh tengok. Kami bernasib baik kerana boleh merasa sendiri pengalaman Baralek Gadang dan berpeluang untuk beramah mesra dengan penduduk kampung. Bermacam-macam cerita dikongsi dan melalui aktiviti ini sedikit sebayak kami dapat menjiwai tradisi orang Minang yang begitu popular dengan adat perpatih ini. 

Rempeyek Crispy Beranang

Dua hari sebelum berlangsungnya majlis kami berpeluang merasai sendiri pengalaman menggoreng kerepek rempeyek crispy yang begitu popular di sekitar Beranang. Mewarisi resipi keluarga, perusahaan ini diusahakan oleh suami isteri Mohd Fairus Khan dan Yang Azida Amarul Mokhtar.

Antara rempeyek yang dihasilkan ialah rempeyek kacang dhal dan kacang hijau (tompi) tapi yang paling mendapat sambutan ialah rempeyek kacang tanah. Satu hari, beliau boleh menghasilkan 10 paket atau 40 balang rempeyek. 

Lokasi: ROSEAYANG, No 4. Kedai PLB Kampung Bukit Kepong, Beranang, Selangor 

Rumah Traditional Tanjak Rembau 

Sesudah bertungkus-lumus menjadi tukang goreng rempeyek kami terus ke rumah tradisi orang Minang. Tak sah rasanya kalau tak singgah melihat sendiri keunikan rumah yang berusia 89 tahun ini. Di kampung ini, terdapat tiga rumah tradisi Tanjak Rembau. Salah satunya ialah rumah ini yang dimiliki oleh Rahim Adam, generasi keempat keluarga beliau yang menetap di sini sejak 1933.

Rumah Tanjak Rembau sedikit berlainan dengan Rumah Minangkabau kerana ia memiliki atap yang tidak terlalu melengkung. Rumah ini juga unik kerana dibina tanpa menggunakan paku sebaliknya tanggam pasak.

Selain itu, rumah ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu depan, tengah dan belakang di mana setiap bahagian ini mempunyai fungsinya tersendiri. Jika terdapat sebarang majlis merisik ruang di bahagian depan digunakan khusus untuk kaum lelaki dan di bahagian tengah pula dihuni oleh kaum wanita. 

Korang berkemungkinan akan kenal rumah ini kerana ianya telah diguna banyak kali dalam penggambaran iklan dan juga drama TV. 

Ladang Serai Beranang

Sekali imbas mungkin ladang ini nampak biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi mereka yang berasal dari bandar pastinya akan menjadikan ladang ini bak New Zealand. Pemandangan hijau serai cukup dapat menenangkan jiwa dan memberi suasana kampung yang kita semua rindukan.

Beranang, Selangor, dianggarkan memiliki sekitar 300 ekar tanah di 12 kampungnya yang diusahakan untuk penanaman serai. Malah, ia menjadi sumber ekonomi terbesar bagi penduduk di Beranang.

Salah satu ladang terletak di Kampung Sesapan Batu Minangkabau yang diusahakan oleh Kamarul Bahrin Moftah dan rakan kongsinya, Anuar Saleh.

Kamarul Bahrin sudah menceburi bidang penanaman serai sejak 2001. Di tanah seluas dua ekar ini, beliau menanam serai jenis paha ayam yang selalu digunakan dalam masakan. Dianggarkan 7,200 rumpun serai dapat ditanam dalam keluasan seekar. Hasilnya turut dijual ke beberapa negeri dalam Malaysia.

Kedai Makan Satay Kenari Minang

Sate Minang antara makanan tradisi yang cukup digemari bukan setakat dalam kalangan komuniti Minangkabau, bahkan di seluruh Malaysia.

Walaupun lebih sinonim di Negeri Sembilan, Sate Minang juga boleh dinikmati di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor. Kebudayaan Minang cukup kuat di sini termasuk dari segi makanannya.

Dan salah satu kedai makan yang popular untuk menikmati makanan ini ialah di Kedai Makan Kenari Satay Minang.

Bagi mereka yang baru pertama kali merasa sate Minang ni, korang pasti akan tertanya-tanya kenapa kuahnya kuning? kenapa daging dan ayam yang digunakan tak sama dengan sate biasa? Jawapan dia itulah uniknya sate Minang. Kuah kuning bukan kuah kacang, rasanya juga berbeza kerana ada sikit rasa pedas dari rempah dan juga rasa lemak. 

Sate Minang juga dihidangkan bersama bawang goreng dan dialas dengan daun pisang. 

Baralek Gadang di Kampung Sesapan Batu Minangkabau

Seawal jam 10 pagi kami sudah terpacak di tapak majlis dengan penuh semangat untuk turut serta dalam kenduri secara besar-besaran ini yang juga turut disertai lebih kurang 300 penduduk kampung. 

Aktiviti ini sebahagian daripada Program Baralek Gadang: Kita Rewang Sekampung anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan.

Paling membuatkan kami bersemangat adalah acara melapah kerbau. Masyarakat Minang memang terkenal dengan haiwan ini, tidak hairanlah rumah tradisi mereka juga berkonsepkan tanduk kerbau. Inilah juga peluang untuk kami untuk merasa sendiri daging kerbau yang boleh dikatakan cukup susah untuk dapat di mana-mana kedai sakarang.

Selain itu, hidangan ikan keli berempah yang digoreng rangup turut menjadi hidangan pembuka selera kami. Tidak lupa juga masakan ayam goreng sambal hijau yang sering menjadi makanan orang Padang turut dihidangkan. Memang aktiviti kami di hari kedua adalah makan jer. 

Malam Kemuncak Baralek Gadang

Malam kemuncak Baralek Gadang: Kita Rewang Sekampung yang menyaksikan kehadiran lebih 1,500 orang. Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Hulu Langat mewakili YB Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan.

Pada majlis sama, satu majlis berinai secara tradisi Minang turut diadakan selain penganugerahan kepada tokoh-tokoh kampung terpilih, persembahan nyanyian dan cempuling.

Majlis Perkahwinan Tradisi Minang

Trip jelajah warisan ini diakhiri oleh majlis yang ditunggu-tunggu bagi meraikan 2 pasangan mempelai yang sama cantik sama sepadan. Persalinan dan busana pengantin Minang juga begitu unik dalam mempersempahkan budaya mereka yang tersendiri. 

Di majlis itu, tetamu turut dijamu dengan jamuan makanan termasuk Rendang Daging Kerbau gaya Minang yang dilapah pada hari sebelumnya. 

Dengan itu berakhirlah sudah trip kami bersama team Gaya Travel dan juga Persatuan Media Negeri Selangor. Sesungguhnya banyak yang telah kami pelajari dan tidak lupa juga dengan ikatan silaturahim rakan-rakan media baru yang terjalin semoga kekal erat selaamnya. Korang memang best dan sempoi yang membuatkan trip kali ini begitu istimewa.

Setinggi penghargaan dan ribuan terima kami dari rileklah ucapkan terutama kepada Mommy selaku orang yang menjaga kami dengan penuh kasih sayang sepanjang trip ini berlangsung. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge