Home News Rusia Bakal Tawar Pengecualian Visa Kepada Pelancong Malaysia

Rusia Bakal Tawar Pengecualian Visa Kepada Pelancong Malaysia

177
0

Terbaharu, Rusia bersedia memberikan pengecualian visa kepada pelawat Malaysia, kata Timbalan Ketua Misi Kedutaan Rusia ke Malaysia, Alexander Zimin.

Memetik satu laporan, perjanjian antara kerajaan yang berkaitan sedang diusahakan oleh kedua-dua negara.

“Kementerian luar kedua-dua negara sedang membincangkan draf perjanjian antara kerajaan mengenai pengecualian visa dan kami percaya mungkin tahun depan, kami dapat menandatanganinya di peringkat kerajaan,” katanya semasa berucap pada majlis Jerayawara Jawatankuasa Pelancongan Bandar Moscow 2023 di sini pada Rabu.

Turut hadir dalam acara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Zimin menegaskan bahawa kedua-dua negara juga bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja khusus mengenai Pelancongan semasa sesi kedua Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zimin berkata, lebih 100,000 pelancong Rusia dijangka melawat Malaysia menjelang akhir tahun ini, dengan Rusia menduduki tempat ke-16 dalam kalangan pelawat asing Malaysia.

Sementara itu, Roslan berkata, Malaysia menerima kira-kira 79,000 pelancong Rusia pada 2019, tetapi jumlah itu menurun dengan ketara pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

Tambah beliau lagi, Malaysia mencatatkan kira-kira 33,000 ketibaan pelancong dari Rusia pada 2022. Manakala dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2023, jumlah itu meningkat kepada 85,000 orang.

Dengan pengecualian visa yang bakal dilaksankan kelak, dijangka jumlah pelancong Malaysia ke Rusia dan pelancong Rusia ke Malaysia bakal meningkat pada tahun akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here