Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) mengesyorkan supaya kerajaan memberi kelonggaran kepada industri perhotelan mendapatkan pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja tempatan ketika ini.
Timbalan Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, bagi tujuan itu, pihaknya sedia mematuhi apa jua prosedur operasi standar (SOP) yang bakal ditetapkan kerajaan.
“Kalau orang sini sudah tidak mahu bekerja jadi kita perlu dapatkan pekerja asing untuk bantu kita.
“Tidak kisah apa SOP yang dikenakan asalkan pekerja cukup untuk industri perhotelan.
“Apabila industri kurang kakitangan, jadi banyak rungutan pelanggan mengatakan servis lambat dan sebagainya,” katanya kepada kepada Sinar Ahad.
Justeru beliau memohon kepada semua pelanggan untuk memahami keadaan semasa akibat kekurangan pekerja dan lambakan tempahan bilik secara mendadak.
Menurutnya, pada masa ini rakyat tempatan kurang berminat untuk memohon kerja dalam industri pelancongan khususnya perhotelan kerana bimbang berlakunya ketidakstabilan sektor tersebut.
Industri perhotelan kini mengalami kekurangan kakitangan menyebabkan banyak rungutan daripada pelanggan mengenai servis dan sebagainya.
“Keadaan negara masih tidak meyakinkan mereka untuk bekerja semula dalam industri hotel kerana kita tidak tahu adakah ia mampu bertahan.
“Jadi, pihak berkaitan atau berwajib perlu memberi semangat dan mempromosikan kerjaya dalam industri itu supaya mereka yakin untuk menyertai sektor perhotelan dan pelancongan.
“Kebanyakan mereka risau, contoh hari ini dia bekerja hotel alih-alih kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula? Dia takut kena buang kerja, sebab itu mereka tidak memilih untuk bekerja di hotel,” katanya.
Jelas beliau, pihak hotel juga tidak dapat menjangka trend jumlah tempahan hotel ketika ini sehingga sukar untuk membuat keputusan menambah pekerja.
“Sebagai contoh, pada minggu lepas tempahan penuh di kebanyakan hotel. Apabila musim cuti habis, semakin berkurang pula tempahan. Kalau upah pekerja yang ramai akan menyebabkan hotel tanggung kerugian,” jelasnya.
*Berita asal di Sinar Harian