Dengan pengumuman kerajaan Malaysia berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan lebih banyak kelonggaran bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos, Malaysia Airports memberi jaminan bahawa kesemua lapangan terbang di Malaysia adalah selamat dan bersedia dalam membolehkan pembukaan semula sektor pelancongan dan laluan udara domestik negara.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Malaysia Airports, organisasi tersebut akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kesemua rakan niaga udara dan peruncitan dalam memastikan semua langkah-langkah keselamatan dilaksanakan dengan penuh perhatian di setiap lapangan terbang dan memastikan setiap kakitangan lapangan terbang bersiap sedia untuk beroperasi dalam normal baharu pengangkutan udara.

Situasi di Malaysia yang semakin bertambah baik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac akan melonjakkan permintaan ke atas penerbangan, dan dalam menjangkakan situasi ini Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, Malaysia Airports komited untuk memberikan sokongan penuh kepada syarikat-syarikat penerbangan untuk kembali beroperasi dan menambahkan lagi tawaran penerbangan mereka.

Beliau menambah, Malaysia Airports memberikan jaminan kepada penumpang-penumpang bahawa mereka boleh menggunakan lapangan terbang dengan selamat serta lancar memandangkan kesemua lapangan terbang Malaysia Airports telah bersiap sedia dengan langkah-langkah keselamatan yang telah dilaksanakan di sepanjang pengalaman penumpang di lapangan terbang.

“Objektif utama kami adalah untuk menyediakan aliran penumpang yang selamat dan selesa untuk kedua-dua penumpang ketibaan dan pelepasan. Daripada memberikan fokus kepada langkah penjarakan sosial yang ketat hingga ke memastikan barangan perlindungan peribadi yang mencukupi, kami juga berkhidmat untuk menyokong protokol keselamatan rakan niaga penerbangan kami,” kata Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Penumpang-penumpang akan turut dilindungi dalam aspek kesihatan dan keselamatan agar mereka boleh menikmati pengalaman lapangan terbang tanpa kontak dengan pelaksanaan teknologi pengecaman wajah, pemeriksaan keselamatan tanpa kontak di checkpoint dan perlindungan perisai bersin di kaunter-kaunter, sementara pegawai-pegawai pematuhan keselamatan Malaysia Airports akan membuat rondaan di terminal untuk memastikan penjarakan sosial diamalkan secara bertanggungjawab oleh penumpang pada setiap masa.

Malaysia Airports turut bekerjasama dengan rakan-rakan niaga peruncitannya bukan sahaja dalam memastikan persekitaran yang disanitasi tetapi juga dalam memupuk pelaksanaan sistem pembayaran elektronik menerusi aplikasi pembayaran mobil seperti Boost, Touch ‘n Go, Grab Pay, mPAY dan Samsung Pay agar pengunjung dapat membeli-belah dengan ketenangan hati. Malaysia Airports turut memberikan sepenuh kerjasama terhadap usaha kerajaan negeri Selangor dalam menyediakan aplikasi pengesanan kontak ‘SELangkah’ oleh setiap peruncit lapangan terbang.

Dengan pembukaan semula pelancongan domestik, Malaysia Airports mengingatkan penumpang-penumpang kepada normal baharu dan meminta kesemua penumpang untuk mematuhi prosedur-prosedur di setiap lapangan terbangnya:

1. Penumpang diwajibkan untuk memakai topeng muka di lapangan terbang. Topeng muka harus dipakai sebelum memasuki bangunan terminal. Anda tidak akan dibenarkan memasuki terminal tanpa topeng muka.

2. Hanya penumpang yang memiliki tiket penerbangan atau pas masuk yang sah sahaja dibenarkan memasuki terminal. Orang lain tidak dibenarkan memasuki terminal. Untuk terminal klia2, orang lain hanya dibenarkan memasuki sehingga gateway@klia2 Shopping Mall sahaja.

3. Penumpang-penumpang pelepasan akan melalui pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki bangunan terminal. Penumpang-penumpang dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius tidak dibenarkan meneruskan perjalanan.

4. Mengekalkan jarak 1 meter di setiap bahagian terminal. Penumpang dinasihatkan untuk mematuhi penanda-penanda penjarakan sosial yang ditempatkan di kemudahan-kemudahan awam termasuk travellator, eskalator, lif dan di kawasan tempat duduk.

5. Gunakanlah bilik-bilik air bersih yang disediakan oleh Malaysia Airports untuk mencuci tangan sekerap mungkin sebelum dan selepas penerbangan anda. Malaysia Airports telah turut menempatkan cecair nyahkuman di sekitar lapangan terbang.

6. Penumpang-penumpang turut dinasihatkan untuk merujuk kepada syarikat penerbangan berkaitan berhubung garis panduan selanjutnya tentang langkah-langkah keselamatan ketika menaiki pesawat.

7. Penumpang-penumpang pelepasan dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang 3 jam sebelum penerbangan untuk mengelakkan sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat pelaksanaan prosedur-prosedur tambahan ini.

Sumber: Malaysia Airports.

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge