Hidup ini bukan selalu indah, ungkapan ini kita sering dengar, namun kita tak kan faham sehingga kita sendiri alami benda ini.Di media sosial terlampau banyak mereka yang kongsikan masalah, bermacam-macam masalah aku baca hari-hari, ada yang bolehaku relate dengan hidup aku.

Apa yang aku dapat belajar dari semua orang yang berkongsi masalah, setiap orang diberi ujian tapi dalam bentuk berbeza. Ujian ni boleh membuatkan kita rasa kurang bersemangat, putus asa dan hilang harapan.

Aku cuma mahu berkongsi maklumat. Sama ada maklumat ini berguna kepada kau atau tidak, semuanya terserah kepada Tuhan. Aku tidak mempunyai kuasa untuk mengubah (bantu) orang lain. Aku tak mendapat sebarang manfaat material dari penulisan ini.

Bila kau rasa sendirian, sebenarnya kau tak bersendirian. Bukan aku sahaja, setiap manusia yang hidup merasakan kesakitan, putus asa, sendirian, sunyi dan kosong.

Mungkin waktu kau rasa kekosongan, ada orang lain di penjuru lain di dunia turut merasakan perasaan yang sama. Kita semua dihubungkan dengan perasaan yang sama.

Banyak yang dapat dipelajari di sini. Buka mata seluas-luasnya supaya kita dapat melihat. Dari semua inilah kita dapat berkembang. Dari sinilah kita belajar tentang diri kita, bagaimana ia merasa kesakitan, kekosongan dan bagaimana untuk mengatasinya.

Bagi mereka yang beragama, ketika tahap keimanan kita menjadi rendah, kita akan merasakan hubungan antara kita dan Tuhan semakin jauh.

Kita merasa seolah-olah doa kita tidak dijawab. Ibadah kita tidak memberi kesan positif kepada hati kita. & paling buruk kita merasakan kita adalah manusia yang paling teruk dan malang. Kita mungkin rasa Tuhan tidak lagi menyayangi kita atau tidak peduli kepada kita.

Sekiranya kau percaya pada kebenaran Al-Quran, kata-kata yang terdapat dalam Al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam mengubah kehidupan manusia, sekiranya ia diikuti.

Al-Quran memberitahu kita bahawa kepercayaan bergantung kepada petunjuk (hidayah) dan bukan hanya ilmu pengetahuan. Cara terbaik untuk mendapatkan petunjuk adalah dengan mendekatkan diri dengan Tuhan.

Tidak ada kemudaratan atau kerugian bila mendekatkan diri dengan Tuhan. Sekiranya Tuhan benar-benar wujud, kau akan mendapat manfaat yang banyak.

Tuhan yang mencipta ujian, & hanya Tuhan mempunyai jawapannya serta berkuasa ke atasnya. Tapi adakah kau yakin dan percaya pada kewujudan Tuhan?

Bukti kewujudan Tuhan sebagai Pencipta terdapat pada alam semesta yang kompleks dan sempurna. Kesempurnaan alam semesta menunjukkan kehebatan dalam penciptaan.

Alam semesta sangat teratur dengan berbillion bintang dan galaksi bergerak dalam orbit masing-masing. Susunan alam semesta yang teratur menyebabkan perlanggaran tidak terjadi. Kepantasan objek di alam semesta berada di luar imaginasi manusia.

Bumi berputar pada paksinya dengan kepantasan sekitar 1670 km/h. Kelajuan bumi mengelilingi matahari bersamaan 108,000 km/h. Kelajuan galaksi Bima Sakti pula bersamaan 950,000 km/h.

Dalam masa 1 jam, kelajuan Bima Sakti mampu mencapai jarak sejauh 950,000 km. Ianya bersamaan 1,117 kali ulang alik dari JB ke Perlis, dan itu mengambil masa selama 419 hari. Bima Sakti hanya mengambil masa selama 1 jam. Kelajuan ini tidak dapat dibayangkan oleh manusia.

Dengan kelajuan luar biasa itu, sekiranya terjadi sedikit saja pergeseran pada orbit objek-objek di langit dapat membawa akibat yang sangat serius.

Bumi, hanyalah satu titik kecil di alam semesta. Terdapat bahaya besar yang ada di alam semesta. Tapi kita dikelilingi oleh suatu lingkungan yang sempurna, dan stabil. Sudah tentu ada satu kuasa hebat yang menjadikan semua ini sempurna.

Mungkin ada yang berfikir bahawa semua ini berlaku secara semulajadi. Tapi fikirkan pula tentang sebab dan akibat. Semua yang wujud sama ada :

  • Ia kekal wujud.
  • Ia ada permulaan.

Kekal wujud bermaksud ia tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Tetapi alam semesta ada permulaan. Ada permulaan bermaksud, sama ada :

  1. Ia mencipta dirinya sendiri.
  2. Ada sesuatu yang menciptanya, mewujudkannya, memulakannya. Ini dipanggil sebagai “sebab.”

Mencipta diri sendiri adalah tidak masuk akal kerana ia perlu wujud terlebih dahulu. Sangat mustahil.

Ada “sesuatu” yang menyebabkan segala yang ada di alam ini tercipta. Ini bermakna, mesti ada sebab kenapa ia berlaku. Sebab utama ialah kerana wujudnya Pencipta. Tapi siapa pula yang mencipta dan mewujudkan Pencipta?

Siapa yang mencipta Pencipta? Pencipta dicipta oleh Pencipta yang lain, yang juga dicipta oleh Pencipta yang lain. Ini tidak mungkin berlaku kerana mesti ada “Penyebab Pertama” yang menyebab segala-galanya bermula.

Kewujudan Al-Quran membuktikan bahawa terdapat Pencipta, Muhammad adalah pesuruhNya dan Islam adalah benar.

Kenapa kewujudan Al-Quran membuktikan kewujudan Pencipta? Kerana keajaiban yang ada pada kitab ini.

Al-Quran mengandungi pelbagai fakta saintifik seperti :

  1. Embriologi
  2. Teori big bang
  3. Penciptaan gunung-ganang
  4. Kedudukan bintang-bintang Dan banyak. Al-Quran juga tidak mengandungi satu pun kenyataan yang bercanggah dengan mana-mana fakta saintifik.

Semua fakta saintifik ini sudah wujud dalam Al-Quran sebelum perkembangan ilmu sains lagi. Kitab ini juga kekal dan tidak pernah berubah selama 1,400 tahun. & tidak ada satu ayat pun yang bercanggah dalam Al-Quran.

Di dalam Al-Quran juga mengandungi ayat yang mencabar kemampuan manusia. Tuhan telah mengatakan di dalam Al-Quran bahawa sekiranya semua manusia dan Jin bersatu untuk menghasilkan sebuah kitab seperti Al-Quran, mereka tidak akan mampu menghasilkannya.

Dan sepanjang tempoh 1,400 tahun ini, tidak ada seorang pun mampu menghasilkan kitab seperti Al-Quran atau lebih hebat dari Al-Quran.

Cabaran ini terdapat dalam surah Yunus, ayat 38 : “… datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”

Sekiranya kau percaya dan yakin pada kebenaran kitab Al-Quran, dan kau menerima bahawa Muhammad s.a.w adalah seorang pesuruh Tuhan. Dengan berbuat demikian, kau akan dijamin ke syurga.

Kata-kata yang terdapat dalam Al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam mengubah kehidupan manusia sekiranya ia benar-benar diikuti. Surah Adh-Dhua diturunkan untuk melepaskan perasaan negatif, memberikan harapan dan keyakinan bahawa Tuhan sentiasa bersama kita.

Surah Adh-Dhuha merupakan surah ke 93 dalam Al-Quran. Dari surah ini, kita dapat mencari harapan dan memperbaharui keimanan kita ketika melalui saat-saat murung, sedih, lonely dan putus asa. Jadi, apa yang terkandung dalam surah Adh-Dhuha?

“Demi waktu Dhuha.” – 93:1 Ini adalah perkara pertama yang perlu kita dengar apabila kita tertekan, murung, kesepian, down dll. Bangunlah, lihat sinar matahari. Segala-galanya dalam hidup bukanlah azab dan kesuraman.

“Dan malam apabila ia sunyi sepi.” – 93:2 Malam menutupi dan memberi keselesaan kepada kita untuk berehat. Gunakanlah waktu malam sebagai keselesaan untuk mengurangkan kesengsaraan.

“Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci.” – 93:3 Ayat ini memberitahu kita bahawa Tuhan tidak membenci kita dan tidak melupakan kita. Kepada mereka yang dilanda masalah, kemurungan dan kesedihan, ingatlah Dia sentiasa ada bersama kita.

“Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” – 93:4 Apabila kita dilanda masalah, kita cenderung untuk berfikir bahawa nasib kita sangat malang berbanding orang lain. Ayat ini memberi jawapan yang sempurna kepada pertanyaan itu.

Kehidupan di dunia ini adalah sementara dan Akhirat adalah tempat yang lebih baik untuk kita. Lihatlah masalah sebagai ujian untuk kita lebih dekat kepada Tuhan. Dia memberikan kita ujian sebagai peringatan kepada kita tentang kewujudanNya, bukan sebagai bebanan

Sebahagian orang mudah lupa diri apabila diberikan nikmat yang berlebihan. Sehinggakan roh sendiri pun tidak mereka kenal.

Jadi, ujian datang bersama peringatan bagi mereka yang berfikir, untuk menyedarkan kita, untuk mendekatkan lagi kita dengan Sang Pencipta.

“Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.” – 93:5

Janji Tuhan adalah benar dan Dia akan memberikan hambanya ganjaran yang sangat besar. Bukankah ini sesuatu yang baik untuk didengar apabila kita merasa bosan dengan kehidupan di dunia dan tertekan dengan masalah yang dihadapi?

 

“Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?” – 93:6 Mungkin ramai berfikir, ayat ini tentang anak yatim dan bagaimana ia berkait dengan orang lain, dengan kita yang masih memiliki ibu bapa?

Fikirkan. Banyak kali dalam hidup kita, ketika kita menghadapi masalah, sakit, rasa sendirian, lonely atau kesepian, kita merasa seperti tidak ada sesiapa yang peduli tentang kita. Semua orang tidak mahu peduli tentang kita.

Siapakah yang berada bersama kita ketika itu? Allah. Dialah yang menjaga kita dan membimbing kita.

“Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?” – 93:7

Berapa ramai dikalangan kita walaupun dilahirkan sebagai Muslim, telah tersesat dan menyimpang jauh dari ajaran Islam yang sebenar? Hanya Allah yang mampu memberikan hidayah (petunjuk) dan membawa kita ke jalan yang lurus dan kepadaNya.

“Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?” – 93:8 Ramai dari kita telah melalui banyak waktu sukar dalam kehidupan, saat kekurangan wang.

Apabila kita melihat kembali kita akan sedar bahawa hanya Allah yang memberikan kita rezeki dalam pelbagai bentuk dan membawa kita keluar dari detik-detik yang sukar.

Apabila kita tertekan, fikirkan semula bagaimana Allah membantu kita pada masa lalu, melalui semua ujian. Ia akan memperkuatkan keyakinan kita terhadap janji-janji Allah.

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,” – 93:9 Ayat ini adalah penawar utama kepada kemurungan. Kenapa ya?

Orang yang sedang tertekan, sedih dan murung kebanyakannya akan tenggelam dan larut dalam masalah mereka. Mereka akan merasakan tiada sesiapa yang mungkin lebih malang dari nasib diri mereka.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya melihat orang-orang yang berada dalam situasi yang jauh lebih buruk daripada kita, saat kita merasa tidak berpuas hati, berputus asa dan tertekan.

Lihatlah anak-anak yatim yang tidak mempunyai keluarga, ibu bapa atau orang tersayang. Mereka begitu dahagakan kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu.

Majoriti daripada kita mempunyai keluarga dan ibu bapa, mempunyai atap untuk berteduh, makanan terhidang di atas meja hasil air tangan seorang ibu dan tilam empuk untuk berehat. Adakah dengan semua nikmat ini kita masih berfikir bahawa kita berada dalam keadaan yang malang?

“Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik,” – 93:10 Satu lagi contoh adalah pengemis. Ia mengingatkan kita tentang nikmat material yang Allah telah berikan kepada kita, makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Berapa ramai daripada kita yang tidur dalam keadaan kelaparan kerana tiada bekalan makanan? Berapa ramai daripada kita yang tidak mempunyai pakaian untuk dipakai? Dan berapa ramai daripada kita yang tidak ada tempat tinggal untuk berteduh?

Anak yatim dan pengemis adalah contoh terbaik untuk refleksi diri bagi mengingatkan kita supaya bersyukur atas segala nikmat yang Allah telah berikan. Buanglah semua kesedihan dan berhubunglah dengan Allah sebagai tanda rasa syukur.

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” – 93:11 Ayat terakhir ini adalah untuk meningkatkan keimanan dan hubungan dengan Allah, dengan memikirkan, memuliakan dan bercakap tentang nikmat Allah.

Jadi, apabila rasa putus asa, sedih, kecewa atau tertekan, perbaikilah hubungan dengan Allah. Baca surah Adh-Dhuha dan renungkan maknanya. Insya-Allah, ia akan memulihkan keyakinan kau terhadap kuasa Allah.

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge