url

ACAP KALI apabila menyebut nama Padang Besar yang terletak di Perlis, ramai yang akan membayangkan syurga beli-belah barangan murah di Malaysia.

Namun tidak ramai yang menyedari Padang Besar bukan setakat tempat untuk membeli-belah. Hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui kewujudan sebuah tasik yang menyimpan pelbagai tarikan unik.

Tasik Timah Tasoh ialah nama yang tidak asing bagi penduduk Perlis. Ia bukan sahaja nadi pertanian di utara Semenanjung Malaysia, bahkan empangan saliran terbesar itu merupakan lokasi percutian pelancong yang cintakan alam semula jadi.

Tasik tersebut pada asalnya merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Ia juga merupakan lokasi sebuah kampung iaitu Tasoh yang telah ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan tersebut.

Turut ditenggelamkan bersama kampung itu ialah masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan. Selain nostalgianya yang semakin luput daripada ingatan penduduk setempat, kampung tersebut terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air bagi menyediakan bekalan air domestik dan perindustrian. Selain itu, ia bagi memenuhi keperluan untuk mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Buah percuma

Selain pemandangan yang menarik, tetamu di Tasoh Lake Resort & Retreat boleh menikmati buah-buahan secara percuma di dusun-dusun di sekitar tasik tersebut.

Bagaimanapun, tidak lengkap percutian di Perlis tanpa menikmati buah mempelam tempatan iaitu harumanis yang berharga RM20 sekilogram. Buah mempelam itu digelar harumanis kerana ia mengeluarkan aroma yang harum, rasa yang manis dan isinya tebal. Mangga tersebut juga enak dimakan bersama pulut.

Ketua Pegawai Eksekutif Tasoh Lake Resort & Retreat, Helmy Faizal Mohd. Kamal memberitahu, harumanis juga merupakan satu daripada sajian tradisi Perlis dan isinya boleh diproses menjadi jus atau jem. Buah-buahan lain yang terdapat di dusun tersebut ialah durian, durian belanda, rambutan dan mangga yang boleh dipetik terus dari pokoknya.

url

Sekitar satu kilometer ke utara dari calet tersebut ialah Padang Besar. Padang Besar merupakan pusat beli-belah dan pintu masuk ke Thailand bagi pelancong yang ingin ke Hat Yai, Krabi atau Phuket.

Kedudukan Tasik Timah Tasoh juga berhampiran Wang Kelian iaitu pasar sehari yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan Thailand berbelanja. Mereka hanya perlu menunjukkan identiti pengenalan diri masing-masing.

Menurut Helmy Faizal, ramai pelancong asing yang singgah berehat di Tasoh Lake Resort & Retreat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.

“Misalnya, kita mempunyai pelanggan tetap dari England yang membawa Carry Van dan menetap selama sekurang-kurangnya sebulan di dalam van yang diletakkan di tepi tasik itu,” kata Helmy Faizal.

Percutian di tasik itu juga menjanjikan syurga kepada kaki pancing Antara ikan air tawar yang terdapat di tasik itu ialah tilapia, ubi, keli dan haruan.

Spesies ikan

Ikan segar yang diperoleh dibakar terus di tepi tasik pada waktu malam yang bersuhu 28 darjah Celsius sambil bersantai di gazebo yang disediakan. Terdapat juga nelayan yang menjala ikan di situ. Para pemancing yang menyertai nelayan boleh mendapat hasil yang lebih lumayan.

Di tasik tersebut, orang ramai berpeluang menikmati pelbagai aktiviti air seperti berakit, berkayak dan sukan air. Tasik Tasoh juga menjadi lokasi yang dipilih untuk sukan layar peringkat kebangsaan sejak 2010.

Jika memancing atau aktiviti air tidak menjadi pilihan, pengunjung boleh memilih untuk melakukan 12 aktiviti merempuh halangan dan menyertai pasukan bina semangat.

Tasik tersebut juga dilengkapi kemudahan tapak perkhemahan bagi yang tidak mahu menginap di 51 unit calet pada kadar harga dari RM80 hingga RM500.

04052011131

Harum Manis  hanya di Perlis

“Antara syarikat terkemuka yang pernah membuat aktiviti bina semangat di sini ialah Prudential, Safura dan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara,” tambah Helmy Faizal.

Lazimnya, pada bulan Ogos, Timah Tasoh menjadi santuari burung-burung hijrah terutama dari negara-negara sejuk. Pada bulan itu, tasik ini dan persekitaran semula jadinya menawarkan habitat termasuk makanan dan perlindungan yang diperlukan burung-burung berkenaan.

Timah Tasoh juga sering menjadi lokasi penggambaran drama bersiri Astro seperti Kiah Pekasam dan lokasi penggambaran klip video lagu Kisah Hati nyanyian Alyah.

“Majlis perkahwinan Fasha Sandha dan konsert sulung kumpulan Bunkface juga pernah diadakan di sini tiga tahun lalu,” katanya. – Bernama

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge