556644_3854770371690_2024777111_n

Cuti-Cuti Bajet – Menikmati Keindahan Pantai Bali | PULAU Bali merupakan sebuah pulau di Indonesia yang masyhur sebagai pulau seribu kuil, memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta pemandangan alam yang cantik.

Keindahan itu menjadikannya terkenal sebagai tempat pelancongan atau percutian kerana sering menjadi tumpuan peminat sukan luncur air dalam kalangan pelancong tempatan, mahupun luar negara.

Merupakan sebahagian daripada wilayah Indonesia, pulau itu kini menjadi pusat pelancongan utama bertaraf antarabangsa. Terdapat banyak pantai perkelahan utama di Bali seperti Kuta, Ubud, Nusa Dua, Sanur, Seminyak, Denpasar, Candidasa dan Lovina.

Kesemuanya menawarkan pilihan penginapan seperti inap desa, hotel, apartmen dan calet yang bercirikan seni bina Bali yang eksotik serta moden untuk semua golongan, sama ada yang datang bersendirian, bersama keluarga dan tidak kurang juga bersama rakan-rakan.

Alhamdulillah, dengan penerbangan tambang murah yang telah ditempah seawal tujuh bulan yang lalu, impian saya untuk bercuti di pulau itu tercapai akhirnya.

Saya mula mencari destinasi yang menarik di dalam Internet untuk dikunjungi bagi mengelakkan pembaziran dan merancang dengan lebih sempurna untuk percutian saya kali ini.

Agensi pelancongan juga telah saya tinjau dan akhirnya saya telah memilih salah satu agen percutian di Bali bagi membawa saya ke tempat-tempat menarik, pakej penginapan hotel bertaraf empat bintang dan makanan halal. Ia sekali gus membuatkan jadual perjalanan saya lebih teratur.

Pada hari pertama di Bali, saya dibawa terus ke hotel di Kuta pada pukul 1 petang untuk mendaftar masuk dan berehat selepas tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

pl_03.1

Sekitar pukul 3 petang, saya dibawa oleh pemandu pelancong iaitu Nina yang akan menemani saya sepanjang percutian 4 hari 3 malam dan dia juga akan menguruskan segala keperluan saya sepanjang berada di Bali.

Untuk pakej Kintamani Tour pada hari pertama, saya dibawa ke Uluwatu dan melawat ‘Temple on Top of Cliff’ yang mengambil masa selama 40 minit memandu dari lapangan terbang. Ulu yang bermaksud Top dan Watu bermaksud Stone atau Cliff bersesuaian dengan tempatnya yang agak tinggi iaitu 80 meter dari aras laut.

Kuil tersebut dibina pada abad ke-11 oleh Dang Hyang Nirartha, seorang lanun dari Jawa yang datang ke Bali. Pemandangan dari kuil tersebut sangat cantik dan mampu memukau setiap pelancong yang datang.

Kintamani terletak di selatan wilayah Bali dan dari sini pelancong boleh melihat Lautan Hindi yang cukup mempesonakan. Namun para pelancong dinasihatkan berhati-hati dengan monyet yang nakal dan pintar, di sini.

Peralatan seperti kamera, telefon bimbit dan topi antara barangan yang cukup digemari sang monyet. Setelah selesai melawat kuil di sana, kami dibawa menyaksikan tarian yang cukup popular di sini iaitu Tarian Barong dan Tarian Kecak sebelum saya dibawa ke Kuil Garuda Wisnu Kencana yang bermaksud ‘God of Protection’.

Pada waktu malamnya, saya melakukan aktiviti sendiri seperti bersiar-siar di sekitar Kuta dengan menaiki teksi Blue Bird yang agak murah dan mudah didapati.

Hari kedua iaitu selepas sarapan, saya dibawa pula ke Tanah Lot untuk melawat beberapa lagi kuil dan gunung berapi Batur. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira tiga jam dari Kuta disajikan dengan pemandangan indah.

BMNmkSbCIAAB7LI.jpg_large

Kemudian, saya dibawa makan tengah hari sambil melihat pemandangan gunung berapi dalam keadaan cuaca yang agak dingin seperti berada di Genting Highlands.

Selepas makan, perjalanan diteruskan ke ladang kopi luwak atau dikenali juga kopi tahi musang. Harganya agak mahal berbanding kopi lain iaitu secawan kopi luwak berharga 150,000 Rupiah (kira-kira RM47). Saya berjaya meminumnya walaupun rasanya agak aneh.

Pulang dari situ, saya dibawa ke Tanah Lot untuk merasai pengalaman makan malam sambil menikmati panorama matahari terbenam di tepi pantai. Untuk malam kedua, saya ke Kuta untuk melegakan ketegangan urat setelah seharian berjalan. Memang tidak sah sekiranya tidak merasa urutan daripada orang sana, hasilnya cukup melegakan dan harganya pun berpatutan.

Pada hari ketiga, saya ke Floating Temple, suasana di situ agak sesak kerana pelancong yang datang mahu menyaksikan sendiri keadaan kuil tersebut yang seakan-akan terapung di atas laut. Begitupun, saya masih berpeluang membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum pulang ke hotel untuk menikmati makan malam, kami singgah di kawasan sawah padi bertingkat. Sememangnya sejak dahulu lagi, saya ingin melihat dengan mata sendiri keindahan sawah bertingkat itu.

Saya sempat ke tempat membuat produk daripada perak dan membeli sedikit cenderahati buat orang tersayang, selain kain batik untuk keluarga. Hari terakhir, saya berpeluang meninjau sekitar hotel sebelum berangkat pulang ke Malaysia. – www.faizalfredley.com

ps: wah kali kedua masuk paper….ehheh

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

24 COMMENTS

  1. kemah! siap masuk paper lg. kawe juga merancang utk backpack solo/duo/kumpulan (kalu kumpulan pun xsey ramai2). cumo nk tahu kalu backpack solo ni demo raso payoh dok? kawe suka tgk culture asing, gi corok2 kampung serta kenali budaya & demografi mereka. gapo langkah2 keselematan perlu kalu travel solo d tmpt asing lebih2 lg ke kwsn bkn tumpuan pelancong. minta pendapat. tq

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge