Kembara Backpacker Di Bangkok Thailand

Khaosan_road_bangkok_thailand_mar_2003

Kembara Backpacker Di Bangkok Thailand. TENTUNYA ramai yang biasa mengunjungi ibu negara Thailand, Bangkok. Setiap orang yang berkunjung ke sana mempunyai cerita berbeza kerana kota raya itu sangat pelbagai.

Tarikannya berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Ramai yang suka membeli-belah dan tidak kurang ramai juga yang suka meneroka keunikan dan kelainan yang ditawarkan kota raya dengan penduduk lebih lapan juta orang itu.

Tidak kurang juga yang mengaitkan kunjungan ke Bangkok dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral. Tetapi itu semua terpulang kepada cita rasa dan kecenderungan masing-masing.

Thailand, terutama Bangkok merupakan sebuah kawasan yang besar. Bagi yang rajin meneroka mereka akan bertemu dengan tarikan yang berbeza-beza.

Salah satu destinasi unik yang boleh dikunjungi oleh para pelancong di Bangkok ialah Jalan Khao San atau Khao San Road.

Khao San Road sebenarnya hanya satu lorong lebih kurang seperti Jalan Petaling di Kuala Lumpur,

Bercuti di Bangkok Thailand

Tetapi lorong sepanjang satu kilometer ini popular di seluruh dunia kerana ia merupakan tumpuan pelancong bajet atau backpacker.

Sebab itu ia digelar sebagai pusat backpacker dunia.

Kalau berjalan sepanjang lorong itu, kita akan bertemu dengan pelancong dari segenap ceruk dunia dengan bahasa yang berbeza.

Disebabkan Khao San Road adalah kawasan backpacker, maka majoriti pelancong di sini adalah jenis yang simple ala-ala hipi.

Sebab itu bagi penduduk tempatan Bangkok, mereka berkata, jika mahu melihat pelancong Eropah yang busuk sila ke Khao San Road.

Bagi memenuhi keperluan pelancong terbabit, Khao San Road sepanjang satu kilometer itu penuh dengan pelbagai jenis hotel daripada bajet hingga kepada yang berharga pertengahan.

khao-san-road-bangkok-thailand

Sepanjang lorong juga penuh dengan kafe Internet, pub dan bar, kedai buku, agen pelancongan, kedai tattoo dan pelbagai lagi.

Yang menarik, Khao San Road hanya hidup dengan pelancong asing. Hotel, kedai makan, pub dan barnya sentiasa dipenuhi pelancong.

Jika berkunjung pada hujung tahun, hanya muka mat saleh sahaja yang akan kelihatan di sepanjang jalan ini.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Khao San Road yang terletak di daerah Banglamphu, Bangkok ini ialah ketika mengikuti kursus anjuran Institut Kewartawanan Antarabangsa (IIJ) sekitar pertengahan tahun 1990an.

Tempat Menarik di Bangkok – Patpong Dan Paragon Mall

Kebetulan kursus tersebut diadakan pada hujung tahun di mana Khao San Road dipenuhi dengan pelancong-pelancong Eropah yang pelbagai ragam.

Sejak itu, Khao San Road menjadi lokasi yang wajib dikunjungi setiap kali bertandang ke Bangkok.

Jika berkunjung ke sini, ia bukan untuk melihat pemandangan indah atau ada monumen menarik, tetapi lebih kepada melihat dan merasai kemeriahan sebuah kawasan yang menjadi tumpuan ratusan ribu pelancong setiap tahun.

Setiap malam di Khao San Road ibarat pesta. Restoran-restoran dan gerai yang disinari neon berwarna-warni penuh dengan pelancong dari awal malam hingga awal pagi.

Suasana lebih meriah pada malam minggu dengan sepanjang lorong yang ditutup sepenuhnya daripada pergerakan lalu lintas menjadi tempat untuk para pelancong bertemu, berbual, merancang perjalanan seterusnya dan berpesta.

Bagi memenuhi keperluan pelancong backpacker, kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai restoran yang murah selain gerai menjual pakaian dan cenderamata yang pelbagai dengan harga berpatutan.

Pelancong yang tinggal di sini tidak perlu berjalan jauh. Mereka juga tidak perlu menggunakan teksi dan tuk tuk jika mahu mendapatkan barang keperluan.

Semuanya ada di depan mata dan sudah tentu itu menjimatkan belanja.

Jika tidak ada apa hendak dibuat, cukup jika sekadar singgah berjalan-jalan pada waktu malam di Khao San Road.

Sebaik sahaja matahari terbenam, sepanjang jalan itu berubah menjadi tapak pesta dengan restoran-restoran dipenuhi pengunjung Eropah yang lepak sambil minum.

Bagi yang berani, boleh mencuba pelbagai makanan eksotik seperti cengkerik dan belalang goreng, beraneka jenis ulat atau mungkin juga boleh mencuba ‘sate’ kala jengking.

Bagi pelancong, Khao San Road merupakan tempat untuk makan, bersantai dan berpesta sambil membeli barangan yang murah.

Khao San Road cukup meriah, hidup, bertenaga dan menghiburkan selain sesak dengan pelancong.

Ini merupakan tempat untuk berjalan-jalan sambil menikmati makanan tempatan (terutama pulut mangga) selain meninjau-ninjau gerai yang menjual pelbagai jenis pakaian dan cenderamata pada harga berpatutan.

Harga yang ditawarkan pada mulanya mungkin nampak mahal, tetapi boleh tawar menawar hingga kita berpuas hati.

Bagi pelancong Islam, sudah tentu perlu berhati-hati dalam soal memilih makanan. Sepanjang Khao San Road ada juga gerai-gerai peniaga Muslim yang menjual makanan tempatan yang halal.

Berbeza dengan Patpong yang sibuk kerana tarikan kelab-kelab bogel. Di Khao San Road tidak ada semua itu.

Tarikannya adalah restoran, pub, bar dan gerai-gerai jualan yang pelbagai yang memeriahkan suasana malam di kawasan itu.

Dari Khao San Road, pelancong juga boleh ke Soi Rambuttri yang terletak bersebelahan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis restoran dan kedai menjual cenderamata.

Bagi mereka yang tinggal di luar Khao San Road, boleh menaiki teksi atau teksi air untuk ke Khao San.

Menggunakan teksi air di Sungai Chao Praya merupakan satu pengalaman menarik di Bangkok. Untuk ke Khao San Road boleh turun di stesen Phra Arthit dan berjalan kaki melalui Soi Rambuttri untuk ke Khao San.

Bagi pelancong Muslim yang memilih untuk tinggal di Khao San Road, mereka boleh berjalan kaki ke kawasan penempatan Islam di Chakkapong untuk mendapatkan makanan halal.

Di Chakkapong juga terdapat sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat Islam di kawasan itu.

Oleh AZNAN BAKAR

*******************************************

TIP TRAVEL KE OVERSEAS: Travel tanpa internet baik korang duk terperap kat dapur rumah korang jer. Unless korang ni jenis penyiasat sendirian atau pembunuh upahan. So untuk penjimatan semasa travel baik korang pi sewa SAIMURAI POCKET WIFI dulu sebelum fly...Coverage mantap jangan risau. InshaAllah boleh cover satu dunia.....

Share this post

2 thoughts on “Kembara Backpacker Di Bangkok Thailand

Post Comment

CommentLuv badge