
SUASANA pagi itu penuh nyaman, tumbuh-tumbuhan dan pokok besar yang memenuhi Tiber Camp meredupkan suasana, kabin penginapan pula cukup selesa untuk kami berdua. Hari itu, kami menjelajah Rom, kota yang tidak asing lagi dalam sejarah tamadun dunia.
Jika dulu, hanya mendengar namanya dari buku sejarah, hari ini kota mashyur ini sudah dijejaki.
Rom ialah ibu negara Itali, bandar terbesar di tengah-tengah semenanjung itu. Sejarahnya terukir sejak 2,500 tahun lampau. Ia pernah jadi ibu negara Kerajaan Roman, Republik Roman dan Empayar Roman. Kami dibekalkan peta untuk menjelajah kota ini dengan pilihan, sama ada mengikut ketua rombongan atau bergerak sendiri.
Bas terus membawa rombongan dari kem ke stesen tren Prima Porta yang jaraknya tidak sampai dua kilometer. Kami menaiki tren laluan Roma-Nord dari Prima Porta dan turun di stesen terakhir Flaminio. Hari itu, cuaca agak panas, seakan di Malaysia pula.
Kami tiba di stesen Flaminio yang sibuk dengan penjual cenderamata, ada juga sebuah kedai kebab Arab yang merobek rasa lapar penulis. Kemudian kami menukar tren, menaiki Metro Line A untuk turun di stesen Ottaviano dan dari situ, berjalan kaki ke Vatican City.
Vatican City negara terkecil di dunia yang hanya seluas 0.44 kilometer persegi. Ia juga pusat pentadbiran Kristian Katolik terbesar dan tempat penginapan Pope selaku ketua agama itu. Kami memasuki St Peter’s Square dan terpaksa beratur panjang untuk memasuki Gereja St Peter’s Basilica.
Walaupun berbaris panjang, pemeriksaan oleh pengawal agak pantas. Untuk masuk, perlu melepasi dua tapisan pengawal yang semua berasal dari Switzerland, susulan perjanjian khas di antara Vatican dan kerajaan Switzerland. Tentera pula wajib lelaki Katolik, belum berkahwin dan berusia antara 19 hingga 30 tahun.
Pengunjung juga perlu mematuhi kod pakaian yang ketat. Penulis dapat melihat beberapa pelancong wanita dihalang memasuki ruang utama gereja kerana berpakaian seksi pada pandangan pengawal.
Seterusnya kami mengikut ketua rombongan bersiar-siar di sekitar bandar. Dengan pas yang dibeli, kami bebas turun naik bas dan tren di sini. Jam hampir 2 petang, tiba masa perut minta diisi. Kami singgah makan tengah hari di sebuah restoran halal masakan India, kebab dan tandoori pastinya menu utama.
Selesai makan, kembara diteruskan dengan menaiki tren Metro Line B dari stesen Termini dan turun di Colosseo, lokasi Coliseum yang menjadi kebanggaan warga Itali. Filem berkisar zaman Rom terdahulu pasti memaparkan arena ini, termasuk juga filem kegemaran penulis, Gladiator.
Coliseum dulunya digunakan sebagai tempat pahlawan gladiator beradu tenaga selain digunakan untuk pementasan drama, pelaksanaan hukuman dan sebagainya. Di luar, ada ramai `gladiator’ tempatan begitu mesra menyapa agar bergambar dengan mereka, tapi sudah semestinya bukan percuma.
Kami terus berjalan kaki di sekitar kota ini hingga ada ahli rombongan kelihatan sudah keletihan, mengeluh `panas di Rom lain macam rasanya’. Rom sememangnya dipenuhi bangunan bersejarah yang melayakkan ia tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Menyusuri celah bangunan di kota ini, kami singgah sebentar di sebuah kedai cenderamata yang penjualnya berbangsa Cina. Puas juga rakan penulis, Yuyu berbahasa Mandarin dengannya tapi memang sukar untuk tawar-menawar di Itali ini.
Kami juga melalui Pantheon, sebuah kuil yang dikata menempatkan dewa pada zaman Rom purba. Tidak jauh dari situ, ada Fontana di Trevi atau Air Pancut Trevi. Mitosnya, melontar duit syiling dalam kolam ini akan membawa tuah. Penulis tidak sempat melihat kolam dari jarak dekat kerana terhalang dengan gelagat ratusan pengunjung lain.
Tidak jauh dari situ, kami melalui pula Opera Romana, dataran terbuka untuk persembahan opera, nyanyian yang mampu meredakan keserabutan di sebalik kekalutan ribuan manusia. Lebih kurang 7.30 malam, kami mula menaiki tren untuk pulang merehatkan badan selepas penat kembara seharian di kota tamadun dunia ini.










{ 1 comment… read it below or add one }
rase macam nak pergi…. tp… apekan daya… bajet selalu xmencukupi.. huhu
ayie recently posted..Hari pertama Bukan Malam Pertama