Home LIFESTYLE Pakej Pelancongan Musim Sejuk – 5 Hari Di Korea

Pakej Pelancongan Musim Sejuk – 5 Hari Di Korea

1471
0

flight

TANPA keluarga mahupun teman, saya bertekad untuk menjejakkan kaki ke negara empat musim yang sering menjadi igauan para peminat K-Pop di Malaysia.

Sebelum ini, saya hanya menonton di kaca televisyen tentang Korea Selatan yang sering memaparkan kehebatannya sebagai kota kosmetik, terutamanya produk krim BB. Saya juga ingin merasai perasaan romantik seperti drama Lovers in Paris dan Full House yang banyak kali saya tonton.

Saya memilih pakej pelancongan musim sejuk kerana ingin mengabadikan kenangan indah tersebut dalam rintik salji. Ejen pelancongan Safirgotravel telah membuatkan mimpi saya menjadi kenyataan pada 5 hingga 10 Disember lalu.

Meskipun kali pertama melakukan perjalanan bersendirian, ia tidak tidak menggusarkan kerana saya mudah mendapat kenalan baharu.

Rombongan tersebut juga disertai selebriti seperti Iqram Dinzly yang tidak asing dalam drama-drama Melayu yang selalu saya tonton.

Sebaik perjalanan bermula, saya sudah cukup teruja. Boleh dikatakan, saya seperti rusa masuk kampung, maklumlah kali pertama keluar negara.

Belum lagi menjejakkan kaki ke bumi Korea, saya sudah merasai perasaan terharu dan bersyukur ke hadrat Allah dan orang yang disayangi kerana memberi peluang serta keizinan.

Penerbangan malam memakan masa selama tujuh jam tetapi saya tidak mampu melelapkan mata dek perasaan berdebar dan tidak sabar untuk melihat salji.

Rasa teruja

Akhirnya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Icheon, mungkin ada yang tersengih melihat mulut saya sedikit terlopong kerana melihat salji di tempat pesawat kami mendarat. Susah hendak digambarkan perasaan saya ketika itu, cuma ungkapan ‘Subhanallah’ mampu diucap di dalam hati.

Pemandu pelancong muncul untuk memandu perjalanan kami dengan jadual perjalanan yang padat selama lima hari empat malam. Ketika mula mengenakan pakaian musim sejuk, perasaan teruja kembali menguasai diri dan saya tidak melepaskan peluang menikmati keindahan kota Seoul yang putih bersih.

Saya seperti tidak percaya apabila dapat bermain salji di Pulau Nami yang terkenal dalam drama Winter Sonata. Pulau ciptaan manusia itu memperlihatkan keindahan deretan pokok yang unik serta panorama indah.

PARA peserta mengabdikan kenangan melancong di Korea Selatan.

Begitu juga ketika menyusuri sepanjang Sungai Han sambil menikmati cahaya lampu kota, terasa suasana yang romantik.

Kami turut dibawa meluncur di Oak Valley Ski Resort. Harapan saya di situ adalah untuk menguasai kemahiran meluncur, namun ia bukan mudah kerana beberapa kali saya terjatuh ketika cuba mengimbangkan diri.

Dalam pada saya teruja menikmati aktiviti tersebut dan keindahan panorama, adakalanya saya berasa tidak mampu menahan kesejukan walaupun matahari terik di atas kepala.

Berbeza pula apabila kami berada di dalam taman tema terbesar iaitu Lotte World. Baju yang berlapis-lapis tebalnya membuat saya berpeluh-peluh, ditambah lagi apabila bermain pelbagai permainan yang sangat menghiburkan sambil menikmati persembahan sempena Krismas yang memukau mata.

Di restoran Korea, mungkin kerana kesukaran mendapatkan makanan yang halal, biasanya kami dihidangkan dengan sup sayur, telur goreng dan kimchi yang terkenal sebagai sajian tradisi. Bagaimanapun, lidah saya yang sudah bertahun-tahun sebati dengan belacan susah hendak menelannya. Justeru, mi segera menjadi antara sajian setia buat saya ketika lapar.

Dari segi harga makanan, untuk secawan milo panas dan setongkol jagung harganya ialah RM15. Sememangnya Korea Selatan bukanlah tempat yang sesuai untuk membeli-belah apatah lagi orang yang tidak mementingkan fesyen macam saya.

Menyusuri jalan-jalan di kota Iteowon memberi persepsi positif tentang cara hidup orang Korea yang amat menitikberatkan kebersihan terutamanya tandas.

Kulit cantik

Jika didengar cerita daripada pemandu pelancong, kami tidak perlu khuatir tentang jenayah di sini termasuk jika berlaku kehilangan barang pasti akan ditemui semula. Selain itu, Korea Selatan juga terkenal dan berbangga dengan teknologi kosmetik mereka.

Saya terpegun melihat artis-artis Korea di kaca televisyen yang mempunyai kulit mulus serta potongan badan yang cantik.

Apabila berada di sini, kenyataan itu sememangnya benar kerana orang biasa juga boleh jadi secantik atau setampan artis. Ia ditambah pula dengan cara mereka berpakaian mengikut fesyen semasa.

KEDAMAIAN suasana dalam salji yang sempat dirakamkan.

Seorang teman saya pernah berkata tentang trend remaja Korea. Apabila mencapai usia 18 tahun, anak-anak itu akan meminta daripada ibu bapa membuat pembedahan plastik sebagai hadiah hari lahir.

Cuma bagi saya fesyen yang digayakan segelintir lelaki di sana agak keterlaluan. Setiap hari saya akan tersenyum simpul melihat fesyen pemandu pelancong kami yang agak keterlaluan dan feminin.

Pada hari kelima, kami bersiap sedia untuk pulang ke tanah air. Terus terang, memang saya sedih untuk meninggalkan Korea Selatan. Hendak menangis pun ada. Bagi saya, pengalaman di negara itu tidak ternilai harganya.

Semua tempat yang kami lawati sangat mengagumkan dan kami dapat mengenali budaya, sejarah dan adat resam sebuah bangsa yang sangat berbeza. Begitu juga dengan pelbagai kenangan manis sepanjang bersama ahli rombongan.

Kehadiran beberapa wartawan menambahkan lagi seri dalam rombongan kami. Keakraban yang ditunjukkan membuat saya terharu dan ia sangat berharga untuk dikenang seumur hidup. Kamsahamnida! (Terima kasih!).

Hakcipta terpelihara @Kosmo
ps: bestnya…aku bila lah berpeluang nak ke sana ek…nak gak main salji..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge