Mitos 3 Puteri Bertukar Jadi Gunung Di Blue Mountains, Australia

 explore-states-tas-cradle-mountain-wilderness

Mitos tiga beradik jadi buah mulut di Blue Mountains, tarik pelancong dari seluruh dunia

MISTIK dan lagenda menjadi antara elemen yang mewarnai hidup manusia. Seperti kisah dua puteri yang bertukar menjadi gunung di Sarawak, Australia juga mempunyai cerita sama yang menjadi buah mulut warisan berzaman.

Three sisters iaitu tiga gunung yang terletak di kawasan Blue Mountains, kira-kira 104 kilometer di barat Sydney cukup terkenal di kalangan masyarakat tempatan. Lokasi ini juga menjadi tarikan pelancong yang ingin melihat lebih dekat kawasan pergunungan mengagumkan itu.

Mengikut cerita, disebabkan terikat dengan adat dan peraturan nenek moyang, seorang ahli sihir menukar tiga anak perempuannya yang jelita menjadi batu. Tiga beradik itu yang dikenali sebagai Meenhi, Weemala dan Gunnedoo dari suku Katoomba yang tinggal di Lembah Jamieson, dikatakan mempunyai hubungan dengan tiga wira gergasi dari suku Napean.

Berdasarkan keturunan, tiga beradik itu tidak dibenarkan berkahwin mengikut undang-undang masyarakatnya. Namun begitu, tiga wira berkenaan tidak mempedulikan peraturan itu, malah nekad memperisterikan perawan tiga beradik terbabit secara paksa.

Namun, hasrat mereka ditentang kumpulan yang ingin mempertahankan adat resam hingga terjadinya peperangan hebat.

Mengikut hikayat itu, bagi menjaga keselamatan ketiga-tiga perawan daripada menjadi mangsa peperangan, bapa mereka iaitu ahli sihir terbabit menukar tiga anak gadisnya menjadi batu. Apabila peperangan tamat, mereka dijanjikan akan ditukarkan semula kepada bentuk asal.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila ahli sihir terbabit terkorban dalam peperangan. Disebabkan itu, sehingga kini tidak ada siapa yang boleh menukarkan semula ketiga-tiga beradik itu kepada bentuk asal mereka.

Pemandangan mengasyikkan di lokasi pelancongan popular, Blue Mountains.

Akhirnya, tiga adik beradik yang amat cantik paras rupa mereka itu kekal menjadi batu. Mereka dikatakan membentuk tiga gunung yang terletak bersebelahan antara satu sama lain buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, Three Sisters yang terletak dalam lingkungan Taman Negara seluas 200,000 hektar berpusat di Katoomba, jika dilihat dari sudut saintifiknya terjadi akibat proses luluhawa sejak ratusan ribu tahun lamanya.

Namun, baik mitos atau proses luluhawa, keindahan dan keunikan Blue Mountains dan Three Sisters cukup mengasyikkan. Ia menjadi antara pusat tumpuan pelancong berteraskan eko-pelancongan yang tersohor di bumi kangaru itu.

Selain menikmati pemandangan mengasyikkan Three Sisters, pelancong juga boleh menghayati ketakjuban fenomena indah Blue Mountains dengan menaiki kereta kabel ‘Skyway’. Pelancong boleh menyelusuri celah dan ruang lantai pergunungan itu dengan menaiki tren yang dikawal selia syarikat pelancongan Scenic World.

Bagi pelancong yang ingin menjelajah alam flora dan fauna di Blue Mountains, Scenic World menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong yang berpengetahuan tinggi mengenai jenis pokok serta hidupan yang boleh ditemui di kawasan pergunungan itu.

Malah, mereka juga boleh menjejaki laluan yang disediakan khas di lantai pergunungan sambil menghirup udara segar dan nyaman selain menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Pelancong yang ingin mengunjungi kawasan pergunungan ini boleh menaiki bas dari Sydney dengan membabitkan perjalanan dua jam. Tidak perlu risau mengenai soal penginapan kerana ada banyak hotel serta resort yang menawarkan perkhidmatan tempat tinggal dan layanan selesa.

Bagi pengunjung beragama Islam, makan dan minum tidak menjadi masalah. Ini kerana ada restoran yang menyediakan juadah halal. Pelancong juga boleh mendapatkan pelbagai barangan serta produk cederahati yang dijual di pusat pelancongan Blue Mountains berhampiran pergunungan Three Sisters.

Satu lagi khazanah alam yang menjadi tumpuan pengunjung ialah Gua Jenolan. Ia adalah sebuah gua batu kapur yang amat menarik. Pengunjung berpeluang menjelajah ke dalam gua dan merasai fenomena alam semula jadi yang sungguh mengasyikkan.

Untuk menyertai ekspedisi ini, pengunjung perlu tangkas dan cergas. Kasut dan topi khas juga disediakan. Kawasan taman negara ini sebenarnya banyak menyimpan khazanah alam semula jadi termasuk air terjun, lembah, cerunan, batu batan berjeriji, hutan hujan dan pelbagai flora dan fauna.

Di sini ada sebuah resort milik kerajaan Australia yang dikenali sebagai Jenolan Caves House. Ia menjadi tempat penginapan pengunjung yang ingin menyertai penjelajahan gua Jenolan.

Bagi pelancong dari Malaysia, mereka tidak akan kekok jika berurusan di resort terbabit kerana pengurusnya berasal dari Setiawan, Perak.

INFO: Blue Mountains

  • Kawasan hutan sepanjang 40 kilometer di pergunungan ini terbakar selama 16 hari mulai 26 Disember 2001.
  • Pekan Leura dan Katoomba menjual pelbagai bahan makanan dan minuman untuk bekalan menjejaki kawasan pergunungan.
  • Pelancong Jepun dan China paling ramai berkunjung ke kawasan pergunungan ini.
  • Kebanyakan pemandu pelancong warga Australia di sini boleh berbahasa Jepun, China dan Perancis.
#TIPTRAVEL: SEWA POCKET WIFI SEBELUM FLY!!! BOLEH SEWA POCKET WIFI DI SINI
#BERTUKAR KEPADA WORDPRESS? BOLEH BELI HOSTING DAN DOMAIN DI DIGITALPREFIX

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge