Nami-Island-Korea-Winter-Sonata-3

Kunjungan ke Korea Selatan rakam memori indah, pelbagai tarikan untuk pelancong Muslim

KUNJUNGAN ke Korea Selatan ketika musim sejuk melabuh tirai akhir April lalu meninggalkan memori indah buat penulis serta lima rakan media dari organisasi lain.

Lawatan media anjuran Korea Tourism Organization (KTO) dengan kerjasama syarikat penerbangan, Korean Air mendekatkan kami dengan negara K-Pop itu yang terkenal dengan seni budaya dan alam semula jadi indah.

Hari pertama sebaik sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 7 pagi waktu tempatan, kami dibawa melawat Pulau Nami, lokasi penggambaran terkenal bagi drama bersiri popular, Winter Sonata.

Walaupun pemandangannya tidak secantik pada musim sejuk, namun keindahan pulau berkenaan memang tidak disangkal. Ia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk merakam gambar yang menjadi ‘trade mark’ iaitu deretan pokok.

Penulis agak terkilan kerana tidak menyelongkar jauh ke pulau untuk bergambar dengan poster pelakon utama drama itu, Bae Yong Joon dan Choi Ji Woo. Apa yang menggembirakan, sepanjang lawatan hampir dua jam itu kelihatan ramai pelancong Malaysia terutama Muslim berkunjung ke pulau ini.

Kami seterusnya melawat Samyang Ranch, kawasan tanah tinggi terbesar Asia terletak di Daegwallyeong. Di sini, ada kincir angin yang menjadi tarikan utama selain pemandangan indah berbukit bukau menghijau, ternakan lembu, kambing dan kuda. Selain itu, ada juga Tasik Samjeongho untuk mencuci mata.
Walaupun badan sakit-sakit menaiki bas yang terhentak-hentak hampir sejam untuk sampai ke puncak bukit, namun rasa berbaloi melihat pemandangan yang menakjubkan. Untuk naik ke sana, pelancong boleh menggunakan bas kerana kereta persendirian tidak dibenarkan.

Hari kedua kami dibawa ke Alpensia Resort, kawasan tumpuan pelancong dari seluruh dunia khususnya pada musim sejuk. Di sini pelbagai aktiviti sukan ski disediakan termasuk ‘snowboarding’, sejauh 1.4 kilometer panjang.

31

Mereka yang baru belajar termasuk profesional datang ke sini kerana banyak kemudahan disediakan termasuk hotel bertaraf lima bintang seperti Intercontinental Alpensia Pyeonchang Resort dan Holiday Inn.

Turut menarik kunjungan seisi keluarga disediakan sukan golf dan air kerana taman tema airnya begitu luas dan bersih. Sewaktu kunjungan, kami dapati pelbagai aktiviti membina dan menaik taraf kemudahan sukan dilaksana sebagai persiapan menyambut ketibaan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk yang dijangka pada 2018.

Selepas kepenatan melawat sekitar kawasan resort, kami dibawa ke pusat kebudayaan makanan tradisional Korea di Jeonggangwon. Kami diajar membuat makanan tradisi iaitu ‘bibimbap’, sayur-sayuran segar yang dicampur dengan ikan mentah menggunakan sos dan cili. Kami juga belajar membuat ‘yogurt ginseng’ mengguna ginseng berusia enam tahun yang dikisar dengan ais. Ia baik untuk kesihatan khusus bagi mengelak pelbagai jenis penyakit kanser.

Hari ketiga, kami bergerak ke Yeosu dari Seoul dengan menaiki keretapi laju. Kunjungan ke sana memang khusus untuk mempromosi Expo Yeosu Korea 2012. Yeosu yang terletak di Wilayah Jeolla Selatan barat daya semenanjung Korea kini menjadi tumpuan lebih 100 negara yang menyertai pameran maritim selama 93 hari bermula 11 Mei lalu.

Malaysia turut mengambil bahagian namun ketika kunjungan, pusat pameran negara masih dalam pembinaan. Bandar pelabuhan itu kaya dengan keindahan alam semula jadi selain hasil tangkapan lautnya bermutu tinggi seperti rumpai laut yang banyak dieksport. Apa yang menarik, pameran berteknologi tinggi julung kali diadakan berjaya mencatat kunjungan ramai pelawat termasuk dari luar negara.

Pada sebelah pagi hari keempat pula, kunjungan diteruskan ke Teluk Suncheonman iaitu tempat perlindungan ekologi dan alam semula jadi yang penting di negara itu. Di sini, anda berpeluang menikmati keindahan gunung, pulau serta hutan bakau di keliling kawasan teluk itu. Turut disediakan kemudahan seperti muzium eko yang diwujudkan khusus untuk menjalankan kerja penyelidikan bagi memulihara habitat alam.

Kunjungan tidak bermakna jika tidak melawat kawasan sekitar seluas 56 hektar dengan menaiki feri, di sini anda akan dapat melihat pelbagai spesis burung yang hampir pupus. Dikenali sebagai Taman Bumi, kawasan ini dijangka mengadakan Expo Taman 2013 selama enam bulan bermula 20 April tahun depan.

Hari terakhir di negara bertuah itu, kami berpeluang ke pusat membeli belah berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Di pusat perniagaan bertaraf lima bintang itu, penulis tidak berkesempatan membeli barangan sebarangan kerana harganya agak mahal.

Walaupun agak terkilan tidak dapat membeli cenderamata dihajati, namun kunjungan kali kedua ini memang berharga. Rasa penat melawat tanpa henti dengan berpindah randah hotel setiap malam, terubat apabila Korea Airline menyediakan kemudahan lounge untuk kami bersantai sementara menunggu penerbangan pulang.

Oleh: Faiza Zainudin

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge