KEINDAHAN Pulau Phuket, Thailand sebagai destinasi perlancongan tidak perlu dipertikaikan. Peluang melancong ke Phuket bersama isteri selama empat hari mengesahkan cerita yang saya dengar dan baca sebelum ini.
Menginap di sebuah hotel berhampiran Pantai Patong, hari pertama di Phuket kami habiskan dengan bersiar-siar di sekitar pekan dan menikmati keindahan petang pantainya.
Pantai Patong paling terkenal di Phuket dan cukup dikenali dengan imej pasir pantainya yang memutih dengan laut membiru kehijauan.
Ia menjadikan Pantai Patong antara pantai terindah di pesisiran Laut Andaman sehingga mampu menarik pelancong antarabangsa berkunjung ke Phuket.
Penulis dan isteri berpeluang mengunjungi beberapa lokasi menarik di Phuket seperti Central Festival Phuket, Phuket Butterfly Garden and Insect World, Phuket Aquarium, Masjid Bang Tao dan Pantai Bang Tao menggunakan pengangkutan awam.
Hari kedua, kami melawat Phuket Butterfly Garden and Insect World menaiki songthaew dan motor-teksi.
Songthaew adalah sebuah trak besar yang diubah suai dan dijadikan pengangkutan awam.
Sekiranya teringin untuk menjelajah Phuket dengan bajet rendah, pelancong boleh menggunakan songthaew sebagai pengangkutan utama.
Mereka hendaklah menaiki songthaew menuju ke Pekan Phuket terlebih dahulu kerana kenderaan berkenaan hanya beroperasi dari kebanyakan kawasan menuju ke pekan.
Dari perhentian songthaew di Pekan Phuket, penumpang boleh bertukar ke songthaew lain untuk ke destinasi tujuan.
Motor-teksi pula adalah motosikal yang digunakan untuk mengangkut penumpang di Phuket, penunggangnya mudah dikenali melalui jaket merah yang dipakai.
Harga perlu dirundingkan terlebih dahulu dengan penunggang motor-teksi sebelum menggunakan perkhidmatan mereka.
Penunggang motor-teksi boleh mengambil dua penumpang sekali gus dan ini memudahkan penulis dan isteri menggunakan perkhidmatan dengan menggunakan satu motor-teksi.
Harga dikenakan mengikut jumlah penumpang dan destinasi.
Kami menaiki songthaew dari Pantai Patong menuju ke Central Festival Phuket, sebuah kompleks pasar raya yang terkenal di Phuket.
Selepas bersiar-siar melihat suasana pasar raya di Phuket dan membeli magnet peti sejuk sebagai kenangan, kami ke Phuket Butterfly Garden and Insect World menggunakan perkhidmatan motor-teksi.
Kunjungan penulis dan isteri ke Phuket Butterfly Garden and Insect World tidak mengecewakan kerana kami dapat melihat keunikan rama-rama yang bebas berterbangan. Taman ini salah satu tarikan pelancongan menarik di sini.
Ia dilengkapi dengan muzium mengenai rama-rama, serangga, taman bunga dan tempat pembiakan rama-rama.
Pengalaman cukup mengujakan apabila berhadapan dengan rama-rama yang cukup jinak yang hinggap pada pengunjung.
Setelah puas melawat Phuket Butterfly Garden and Insect World, kami menuju ke jalan raya utama untuk menunggu songthaew.
Terasa agak penat berjalan kaki kerana kedudukan Phuket Butterfly Garden and Insect World agak jauh dari jalan raya utama.
Tempat Menarik Bercuti di Phuket Thailand
Sebelum sampai ke jalan raya, kami melalui kawasan perkampungan masyarakat Thai di Phuket.
Kami merasa cukup bertuah kerana ketika ke jalan raya utama, kami bertemu pemandu motor-teksi beragama Islam dikenali sebagai Pak Cik Abdullah yang boleh berbahasa Melayu loghat utara.
Beliau membawa kami ke restoran halal di Pekan Phuket.
Rasa cukup selesa bertemu dengannya apatah lagi ayahnya berasal dari kampung tempat lahir penulis di Kedah.
Penulis mengambil nombor telefonnya untuk memudahkan menghubunginya sekiranya memerlukan perkhidmatannya di masa akan datang.
Selepas makan, membeli sedikit cenderahati, solat jamak di Masjid Pekan Phuket, kami pulang ke hotel menaiki songthaew.
Pada hari ketiga, kami ke Phuket Aquarium dan Bang Tao sebuah perkampungan orang Islam yang mempunyai masjid terbesar di Phuket dan kawasan pantai yang cantik.
Sekali lagi kami menggunakan songthaew sebagai pengangkutan utama ke Phuket Aquarium sebelum ke stesen terakhir pengangkutan awam itu.
Phuket Aquarium terletak di tepi laut, penghujung kawasan Cape Panwa, di bahagian timur selatan Phuket.
Ia mempunyai keluasan sederhana tetapi berbaloi untuk diterokai kerana pelawat boleh melihat pelbagai jenis hidupan laut sambil merakam gambar dari dekat.
Sebuah terowong kaca membolehkan pelawat merasai seolah-olah berjalan di dasar laut dengan dikelilingi hidupan marin.
Lawatan ke Phuket Aquarium tidak lengkap jika tidak mencuba singgah di beberapa gerai makanan di luar pintu masuk yang diusahakan masyarakat Islam.
Selesai menjamu selera, kami mengambil songthaew untuk berpatah balik ke Pekan Phuket.
Selepas berjalan-jalan dan membeli sedikit cenderahati, penulis mengambil keputusan menelefon Pak Cik Abdullah untuk menjemput kami ke Pantai Bang Tao dengan motor-teksinya.
Seperti dijanjikan Pak Cik Abdullah mengambil kami di hadapan Pasaraya Robinson Phuket.
Dalam perjalananan ke Pantai Bang Tao, kami singgah bersolat di Masjid Mukaram di kampung Bang Tao yang lebih dikenali dengan panggilan Masjid Bang Tao.
Masjid berusia 46 tahun ini adalah yang terbesar dan tercantik di Phuket dan penulis sempat merakamkan beberapa keping foto kenangan.
Kunjungan ke Pantai Bang Tao, memberi peluang kepada penulis menikmati keindahan pantainya yang kaya dengan alam semulajadi berbanding Pantai Patong yang kelihatan agak moden.
Tidak keterlaluan dikatakan Pantai Bang Tao lebih bersih daripada Pantai Patong.
Selain pelancong asing, kelibat masyarakat setempat juga lebih mudah dilihat di pantai ini jika dibandingkan dengan Pantai Patong.
Hari keempat adalah hari terakhir di Phuket. Sudah sampai masanya untuk kami berangkat pulang ke Malaysia.
Pulau Phuket kami tinggalkan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) bersama pengalaman unik meneroka keindahan Pulau Phuket dengan menaiki pengangkutan awam di sana.
Assalamualaikum en faizal…
Tahniah diatas Blog anda yg menarik perhatian saya membacanya…
Saya ingin berkongsi pengalaman sedara semasa sedara bercuti ke Phuket.
Saya bercdg utk bercuti ke sana mungkin hujung tahun ini…sekiranya tiada halangan saya berminat utk mendapatkan no hp pakcik yg berugama Islam semasa sedara jumpa disana..bg memudahkan pergerakkan saya dan keluarga disana nnt…
Sekian..salam perkenalan.