Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Mendapat peluang bercuti di tempat idaman menjadi impian saya sejak dulu lagi. Rancangan diatur seawal enam bulan. Segala persiapan termasuk penginapan, makanan, pengangkutan hingga tempat yang ingin dilawati diatur dan dirancang dengan teliti.

Rombongan backpackers seramai 11 orang ini menjanjikan seribu kenangan manis untuk kami semua. Kami banyak bertanya kawan-kawan yang pernah menjejak kaki ke sana, serta mencari maklumat dari laman web serta blog berkaitan.

Tiket ditempah seawal enam bulan, bekalan makanan dibawa dari Malaysia kerana makanan halal agak susah dijumpai di kawasan hotel kami. Segala maklumat yang diperoleh dikumpul dan akhirnya satu aturcara dihasilkan sebagai panduan kami di sana.

Meminati kumpulan dari Korea iaitu Dong Bang Shin Ki (DBSK) antara sebab utama kami ke sana. Maka 23 Jun 2012 menjadi titik mula kami negara yang terkenal dengan tarian Gangnam.

Tertawan

Kami terpegun dan seakan tidak percaya semasa menjejak kaki di bumi Korea. Dari Lapangan terbang Antarabangsa Incheon kami bergerak ke Namsan Guesthouse yang terletak di kawasan Myeongdong.

Tanpa berlengah kami terus ke Seoul Tower yang menjadi mercu tanda bandar raya Seoul dengan menaiki kereta kabel.

Di situ terdapat Teddy Bear Museum dan tempat pasangan kekasih memasang mangga sebagai simbolik cinta mereka. Waktu itu terdapat persembahan budaya dan seni mempertahankan diri.

Kembali ke hotel, kami berehat serta solat sebelum keluar untuk ke Myeongdong untuk membeli belah. Terkenal dengan tempat tumpuan pelancong dan sebagai hub kecantikan seperti Nature Republic, Etude, Missha, Tony Molly dan lain-lain. Tidak dilupakan Lotte Departmental Store yang berdekatan. Waktu ini digunakan sepenuhnya untuk melihat serta membeli barang-barang yang dijual di sana.

Hari kedua diisi dengan melawat Gyeongbokgung Palace yang tersergam indah. Kagum melihat keindahan senibina dahulu yang sebelum ini hanya kami lihat di dalam filem dan drama.

Melawat kawasan Gangnam adalah tujuan utama kami pada hari itu, tempat-tempat seperti CreBeau Kiss (Apartment Micky Yuchun), Crebeau Belle (Apartment Xia Junsu), Creabeau Jeff (Apartment Hero Jaejong), Bum Story (Restoran milik Hero Jaejong) menjadi tumpuan.

Di kesempatan ini kami dapat melihat dengan lebih dekat tempat yang wajib dilawati oleh Cassiopeia yang merupakan kelab peminat DBSK.

Kemudian kami melawat Masjid Iteawon yang menjadi tempat wajib dilawati pelancong Muslim. Terasa bangga dan bersyukur kerana berdiri megah sebuah Masjid di negara bukan Islam. Di sini kami mengambil peluang bersolat dan mencuba makanan halal Korea.

Melawat Pulau Nami sememangnya mengujakan. Terkenal dengan lokasi drama Winter Sonata, deretan pokok pine yang meninggi cukup mempersonakan.

gangnam

Ini membuatkan kami bertambah teruja untuk meneroka keseluruhan pulau. Walaupun perjalanan pergi balik yang panjang, ia sangat berbaloi dengan segala keindahan yang kami nikmati.

Keindahan malam kami habiskan dengan menyusuri kawasan Cheonggyecheon Stream yang menjadi tumpuan warga kota bagi merehatkan diri dan bersosial.

Kami sempat berbual dengan dua orang Korea yang sangat sporting, mereka sangat ramah serta bangga apabila mendengar kami bertutur dalam bahasa ibunda mereka walaupun tidak se petah mereka.

Hari keempat, kami ke Korean Folk Village iaitu muzium hidup yang memaparkan cara hidup penduduk Korea zaman dahulu.

Masih terpelihara dengan baik untuk dirasai oleh pelancong serta sebagai khazanah berharga negara.

Di sini kami boleh merasai sendiri cara menenun benang, bermain permainan tradisional Korea, melihat cara membuat makan Korea serta berpeluang mencuba pakaian tradisional mereka.

Terdapat juga persembahan budaya disajikan mengikut jadual. Tempat ini juga terkenal sebagai tempat pengambaran drama seperti Sung Kyung Kwan Sacandal, Timeslip Dr Jin, Rooftop Prince dan lain-lain.

Meneruskan perjalanan kami singgah di Trick Eye Museum dan juga Hello Kitty Cafe sebagai penutup hari.

Hari terakhir dihabiskan dengan aktiviti bebas. Rata-rata kami mengambil peluang untuk membeli belah dia kawasan Myeongdong, Nandeamun, Dongdaemun dan kawasan yang berdekatan.

Kesempatan ini saya gunakan untuk memborong CD, DVD dan barangan yang berkaitan dengan kumpulan DBSK.

Memang rambang mata, kalau boleh semuanya hendak diborong. Tidak dilupakan cenderahati untuk rakan-rakan dan keluarga di Malaysia.

Kagum

Kagum dengan tahap kebersihan kawasan sekitar Korea, walaupun agak sukar untuk kami jumpa tong sampah namun susah juga untuk kami lihat sampah di lantai.

Mereka juga gemar menaiki kereta api dan sistem Subway yang tersusun serta meliputi kawasan tarikan juga memudahkan pelancong untuk bergerak.

Apa yang boleh saya lihat, terdapat banyak tangga di Korea mungkin kerana ia dipengaruhi oleh bentuk muka bumi yang berbukit.

Rakyatnya juga tidak lokek untuk membantu kami tatkala kami tersesat atau mencari arah untuk ke satu-satu tempat.

Pelbagai pengalaman lucu berlaku semasa di sana, ada yang tertinggal barang, sesat di tempat yang sama berulang kali, tersalah masuk tandas perempuan dan macam-macam lagi pengalaman berharga yang kami bawa pulang.

Semua pengalaman yang kami kutip di Korea sangat berharga. Berada di negara orang membuatkan kita merasa bertuah dilahirkan di Malaysia.

Oleh MOHAMAD FAIZAL SAMSUDIN

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge