Home LIFESTYLE Keindahan Padang Pasir Phoenix di Arizona, Amerika Syarikat (AS)

Keindahan Padang Pasir Phoenix di Arizona, Amerika Syarikat (AS)

1221
0

POKOK-POKOK kaktus tumbuh meliar di padang pasir. Kewujudannya sedikit mengganggu pemandangan. Justeru, tidak hairanlah pengunjung beranggapan Phoenix yang terletak di Arizona, Amerika Syarikat (AS) sebuah kawasan yang sukar untuk mendapatkan air dan menyaksikan kebudayaan penduduknya.

Bagaimanapun, hakikatnya metropolis itu yang termasuk kawasan Scottsdale dan Tempe merupakan kawasan tumpuan peminat alam semula jadi. Pelancong ke Phoenix bagi menyaksikan keindahan puncak gunung dan padang pasir nan luas.

Bahkan, landskap di kawasan bandar juga tidak kurang menariknya. Di padang golf yang dipenuhi pesara-pesara anda dapat menyaksikan kehebatan bangunan lama sesuai dengan usia bandar Arizona iaitu 100 tahun.

Jadi, tidak timbul masalah untuk mencari rumah-rumah bersejarah atau banglo klasik termasuk yang direka oleh arkitek terkemuka, Frank Lloyd Wright.

Pada musim panas, ketika suhu Phoenix berada pada keadaan sederhana dengan burung-burung berhijrah ke kawasan lebih sejuk, saya ingin berkongsi lima cara mengisi masa luang di Phoenix secara percuma.

Mendaki Gunung Camelback

Gunung Camelback antara lokasi popular tumpuan pengunjung yang ingin melihat pemandangan indah puncaknya berwarna merah. Ia terletak antara Phoenix dan Scottsdale.

Pendakian ke puncak gunung setinggi 824 meter itu tidaklah begitu sukar terutama di laluan kaki gunung.

Denai-denai memudahkan pendakian, namun apabila semakin hampir ke puncak keadaan semakin mencabar dan meletihkan.

Ia antara kawasan pendakian terbaik di bandar ini, pihak berkuasa tempatan telah mengambil beberapa pendekatan bagi menaik taraf laluan bagi memudahkan para pendaki yang kini bilangannya semakin ramai.

Laluan Seni

Terletak di pinggir bandar Phoenix, suasana Laluan Seni bertukar menjadi meriah pada Jumaat, minggu pertama setiap bulan. Kawasan itu dibuka sejak tahun 1994 dengan menempatkan galeri-galeri seni yang memaparkan hasil seni artis tempatan.

SEBUAH rumah lama diubah suai pemiliknya menjadi kedai kopi di Jalan Roosevelt.

Artis-artis itu menjual pelbagai barangan termasuk kemeja T, patung-patung boneka, khidmat lukisan jalanan dan lain-lain.

Pelancong juga boleh menyaksikan persembahan jalanan dan permainan papan selaju oleh para remaja bertempat di Jalan Roosevelt. Mereka merupakan penghuni di kejiranan Roosevelt.

Menyusuri kejiranan itu, pengunjung dapat melihat beberapa pemiliknya mengubah suai rumah masing-masing kepada premis perniagaan.

Rumah-rumah dengan seni bina lama itu diubah suai menjadi bar, kafe, butik pakaian dan lain-lain.

Tasik Bandar Tempe

Tasik Bandar Tempe merupakan tasik buatan sepanjang empat kilometer (km) yang dijadikan kawasan tadahan banjir serta ‘syurga’ kepada penggemar aktiviti berbasikal, berjalan kaki dan joging.

Terdapat juga laluan sepanjang 3.6 meter di kedua-dua belah tasik yang sesuai untuk aktiviti jalan kaki atau papan selaju.

Pada hari-hari tertentu, pengunjung dapat menyaksikan orang ramai berkayak, menaiki kapal layar atau pertandingan perahu naga di tasik tersebut.

Banyak juga acara diadakan di situ antaranya pertunjukan bunga api pada bulan Julai dan perarakan bot pada Disember setiap tahun. Acara-acara itu dibuka kepada umum tanpa dikenakan sebarang bayaran termasuk acara Ironman Arizona.

Rio Salado Audubon Center

Melupakan seketika kehidupan bandar, beberapa kilometer ke selatan tersembunyi sebuah pusat perlindungan haiwan liar.

Pusat Rio Salado Audubon yang terletak di kawasan seluas 242 hektar sepanjang Sungai Garam dihuni kira-kira 200 spesies burung dan haiwan liar termasuk anjing hutan dan arnab.

Untuk menyaksikan burung atau haiwan liar berkenaan, pengunjung boleh berbasikal atau berjalan kaki di trek yang disediakan iaitu sepanjang 16 km.

Di dalam bangunan pula, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai koleksi gambar.

Aktiviti untuk kanak-kanak turut disediakan.

Lawatan ke kediaman bersejarah

PADANG-PADANG golf turut mengindahkan persekitaran Pheonix di Arizona

Pada tahun 1996, sebuah persatuan penduduk diketuai Gerry dan Marge McCue berusaha membuang tanggapan bahawa bandar Phoenix tidak selamat untuk didiami.

Usaha gigih tersebut berbaloi apabila mereka berjaya menghasilkan risalah berkaitan 34 kawasan kediaman yang bersejarah.

Setiap kediaman tersebut memaparkan keistimewaan seni bina lampau dari zaman Tudor hingga ke era Kolonial Amerika. Jangan lupa untuk singgah ke Taman Encanto iaitu lokasi yang menempatkan kolam renang awam dan padang golf pertama sekali gus menjadi mercu tanda bersejarah di Phoenix. Kawasan itu seluas 90 hektar.

Beberapa aktiviti boleh dilakukan di situ seperti menaiki bot kayuh merentasi lagun. Setiap tahun kira-kira 80,000 risalah tersebut dicetak dan diberikan secara percuma, malah ia turut diletakkan di hotel-hotel atau kedai cenderamata.

Peminat rekaan Frank Lloyd Wright dinasihatkan pergi ke bahagian timur Phoenix. Di situ, anda dapat menyaksikan sebuah rumah yang dibina khas untuk anak lelakinya di alamat 5212 E, Exeter Belouvard.

Rumah itu pernah mengundang kontroversi apabila dibeli pihak pemaju yang kemudian mengumumkan untuk meruntuhkannya.

Dibina pada tahun 1950-an, reka bentuk dalaman rumah itu dibina mengikut bangunan Muzium Guggenheim di New York.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here