Kembara Di Bumi Melbourne, Australia - Faizal Fredley

Kembara Di Bumi Melbourne, Australia

Penulis bersama-sama sahabat berlatarbelakangkan Taman Negara Port Campbell.

CUTI semester universiti baru-baru ini digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk menziarahi rakan-rakan yang sedang belajar di Melbourne, Australia. Melbourne merupakan bandar raya kedua terbesar di Australia dan ibu negeri Victoria.

Di samping bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak bersua, penulis tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan bandar raya Melbourne yang sememangnya terkenal dengan budaya sukan.

Bandar raya ini pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik (bandar raya pertama di Australia yang menganjurkannya sebelum Sydney) dan Sukan Komanwel.

Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang suatu masa dahulu pernah menyuarakan sebab beliau berminat untuk berlatih di Melbourne adalah kerana tingginya budaya sukan di kota tersebut.

Sepanjang pemerhatian penulis berada di Melbourne, penduduknya tidak kira masa berjogging dan berbasikal.

Malah terdapat laluan basikal yang baik dan terancang di sekitar bandar raya ini.

Kebetulan semasa penulis menjejakkan kaki di bumi Melbourne, kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia sedang berlangsung. Maka penulis tidak melepaskan peluang untuk merasai kehangatan dan kemeriahan kejohanan tenis terkemuka dunia itu yang selama ini hanya disaksikan melalui kaca televisyen.

Berlangsung di Rod Laver Arena, kejohanan tersebut disertai oleh kebanyakan pemain tenis terkemuka dunia.

Malah menjadi kenangan manis kepada penulis apabila dapat menyaksikan sendiri pemain-pemain tenis terkemuka dunia seperti Rafael Nadal dan Novac Djokovic membuat latihan.

Penulis juga amat kagum dengan sistem pengangkutan awam yang disediakan di bandar raya tersebut.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan anda tidak akan sesat sekiranya berada di bandar raya Melbourne.

Sistem pengangkutan seperti tram, kereta api dan shuttle bus amat mudah didapati.

Malah terdapat beberapa booth di bandar raya ini yang dibuka untuk memberi maklumat kepada para pelancong asing.

Penulis turut berkesempatan menaiki tram yang disediakan percuma khususnya untuk pelancong menjelajahi bandar raya Melbourne.

Hampir satu jam penulis dibawa mengelilingi bandar raya tersebut.

Memandangkan kangaroo, beruang koala dan platipus menjadi simbol Australia, penulis berkunjung ke Zoo Melbourne untuk melihat sendiri binatang-binatang tersebut.

Walaupun bayaran masuk ke zoo tersebut agak tinggi, penulis berpuas hati.

Dalam pada itu, pelbagai muzium boleh didapati di Melbourne secara percuma atau dikenakan bayaran yang amat murah.

Walaupun percuma, kemudahan dan bahan pameran yang disediakan untuk pengunjung amat tidak mengecewakan.

Salah satu daripadanya National Gallery of Victoria. Galeri lukisan ini yang tertua dan terbesar di Australia.

Tidak sah sekiranya berkunjung ke Melbourne jika tidak ke Great Ocean Road.

Ditemani oleh seorang sahabat yang sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti di Melbourne dan seorang lagi sahabat yang datang bersama, kami sepakat menyewa kereta bagi tujuan pengembaraan di sepanjang Great Ocean Road.

Makanan terlebih dahulu disediakan dari rumah bimbang kalau-kalau makanan halal sukar diperolehi.

Kami bertolak awal pagi memandangkan kami mahu menghabiskan pengembaraan tersebut sehari suntuk tanpa perlu menginap di mana-mana tempat persinggahan.

Menurut sahabat penulis di Melbourne, salah satu kebaikan menyewa kenderaan sendiri adalah kami bebas berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan menarik di sepanjang Great Ocean Road.

Sebelum sampai ke permulaan Great Ocean Road, kami melalui bandar Geelong iaitu salah satu bandar yang mempunyai populasi penduduk tinggi di negeri Victoria.

Tidak seperti bandar raya Melbourne yang dipenuhi oleh rakyat dari pelbagai negara terutamanya Asia, penduduk di bandar Geelong hampir kesemuanya penduduk tempatan.

Selepas menyelusuri bandar Geelong, kami berhenti makan tengah hari di Anglesea. Berhamparkan tikar, kami menikmati hidangan di tepi sebatang sungai.

Dengan cuaca baik dan berangin, pemandangan yang menarik, ?dikacau? oleh burung-burung jinak, menjadikan suasana makan tengah hari kami pada hari itu sesuatu yang istimewa.

Kami meneruskan perjalanan hingga ke pintu gerbang yang menunjukkan bermulanya Great Ocean Road.

Great Ocean Road merupakan sebatang jalan di pesisiran pantai di selatan Australia. Ia menghubungkan Geelong dengan Warrnambool di negeri Victoria dan panjangnya 243km. Jalan ini dibangunkan dalam tempoh Perang Dunia pertama dan kedua.

Di permulaan Great Ocean Road, terdapat sebuah tugu peringatan bagi memperingati usaha mereka yang membangunkan Great Ocean Road.

Sepanjang perjalanan, penulis disajikan dengan pelbagai pemandangan yang indah dan menenangkan fikiran.

Sesekali kami berhenti di tepi jalan untuk bergambar berlatarbelakangkan keindahan alam yang begitu mengagumkan. Antaranya ladang ternakan lembu dengan padang rumput yang subur dan menghijau. Jadi tidak hairanlah Australia terkenal dengan industri daging dan susu lembu yang berkualiti tinggi.

Di Lorne terdapat kawasan yang dibangunkan untuk berkhemah. Kedai-kedai peralatan luncur air boleh didapati di sini memandangkan kegiatan luncur air amat terkenal di kawasan tersebut.

Apollo Bay pula tempat persinggahan yang terkenal. Pengunjung yang mengambil pakej ke Great Ocean Road kebiasaannya akan bermalam di hotel-hotel yang terdapat di sini.

Kami berhenti sebentar di Apollo Bay untuk berehat di samping menikmati kopi yang sememangnya terkenal di Melbourne, Victoria. Kami kemudiannya menyambung perjalanan di Great Ocean Road.

Twelve Apostles merupakan kemuncak pengembaraan kami di Great Ocean Road.

Keletihan kami terasa berbaloi menyaksikan keindahan Twelve Apostles iaitu batuan berbentuk tiang di pesisir Taman Negara Port Campbell yang terbentuk hasil hakisan ombak.

Walaupun diberi nama Twelve Apostles, apa yang tinggal bukanlah 12 tiang kerana beberapa tiang sudah runtuh.

Sebenarnya terdapat dua cara menikmati keindahan Twelve Apostles di Taman Negara Port Campbell iaitu sama ada menaiki helikopter atau berjalan kaki.

Disebabkan harga tiket menaiki helikopter yang agak mahal, kami akhirnya menggunakan laluan pejalan kaki yang disediakan bagi meninjau kawasan Twelve Apostles.

Tidak lengkap berkunjung ke Melbourne sekiranya tidak singgah ke Victoria Market untuk membeli cenderahati sebagai tanda kenangan sebelum pulang ke tanah air.

Pelbagai cenderahati dijual dengan harga yang berpatutan di pasar ini. Antaranya patung kangaroo, magnet peti sejuk, kemeja T dan banyak lagi.

Jutaan penghargaan penulis kepada rakan-rakan yang sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah di University of Melbourne dan RMIT University atas kesudian menemani penulis meneroka bandar raya Melbourne dan kawasan sekitarnya.

OLEH: ABDUL HALIM ABDULLAH

“Every travel is a journey and every journey is a travel. No matter where you go, what you’re up to is a journey. Enjoy life, live with it and make peace of it. Our journey in life will end but not with our soul. Go beyond the journey and discover what life has to offer.”~Eacel Janubas~

1 Comment

  1. farhan

    December 12, 2012 at 12:23 AM

    melancong sokmo ff ni..banyaknya duit..siapa sponser..musykil btul aku
    farhan recently posted..Keburukan BloggingMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge