DIKENALI dengan datarannya yang luas dikelilingi pokok-pokok menghijau, keunikan bangunan-bangunan neoklasik dan reputasi kehidupan elitnya satu ketika dahulu, Bucharest merupakan ibu negara dan bandar raya terbesar di Romania.

Kota itu mempunyai legendanya yang tersendiri. Dikatakan, seorang penggembala bernama Bucur telah menemui sebuah lembah luas yang terletak di tebing Sungai Dambovita.

Kepandaian Bucur bermain seruling mempesonakan orang ramai. Sebagai penghormatan, kota yang tidak bernama itu telah dinamakan Bucur yang bermaksud kegembiraan.

Terletak di tenggara Romania, Bucharest yang pernah digelar Little Paris merupakan antara metropolis yang pesat membangun di Eropah.

Kejatuhan era komunisme kira-kira 20 tahun lalu menyaksikan banyak perubahan yang berlaku. Bukan sahaja banyak bangunan pencakar langit mula kelihatan malah masyarakatnya juga semakin terbuka.

Koresponden Reuters, Sam Cage di sana, mencadangkan beberapa destinasi pelancongan yang boleh dilawati dalam tempoh dua hari di bandar raya itu.

Jumaat

Dari lapangan terbang, pengunjung boleh mengambil teksi atau perkhidmatan bas ulang-alik ke Piata Universitatii sebelum ke Lipscani, sebuah daerah yang terkenal dengan deretan bangunan bersejarah ketika zaman pertengahan.

Kawasan sekitarnya nyaris dimusnahkan oleh regim komunis Nicolae Ceausescu sewaktu berkuasa dahulu. Selepas sekian lama tersisih daripada kalendar pelancongan Romania, Lipscani mula berubah wajah dengan pelbagai pembangunan yang menjadi tarikan kepada pelancong.

Anda bebas berjalan-jalan sambil menikmati aktiviti yang ditawarkan. Jangan lupa melawat Stavropoleos Monastery, sebuah gereja berunsurkan gaya Brancovenesc dan seni bina Rom yang dibina pada tahun 1724.

Jika perut berasa lapar, nikmatilah hidangan tempatan di kafe dan bar yang banyak terdapat di situ atau sekadar membeli-belah.

Selepas itu bolehlah ke Curtea Veche untuk melawat istana milik Vlad Tepes yang dibina pada abad ke-15.

Tepes, juga dikenali sebagai Vlad the Impaler kerana kekejamannya dan kegemarannya terhadap darah manusia. Kisahnya menjadi inspirasi kepada penghasilan filem Bram Stoker’s Dracula pada tahun 1992.

Jika masih belum puas berjalan, bolehlah ke Hanul lui Manuc, yang pernah menjadi lokasi pertemuan para pedagang ke Romania sekitar abad ke-19.

Sambil bersantai dan menikmati minuman ringan, anda boleh melayan perasaan sambil melihat ragam manusia di sekeliling.

Selepas puas berjalan, pasti perut berasa lapar. Lipscani menawarkan pelbagai gastronomi dari Turki, Perancis, Itali, India dan Hungari yang sesuai dengan selera anda.

Lipscani sememangnya meriah dengan kehadiran puluhan bar dan kelab malam yang menawarkan hiburan malam tanpa henti. Mojo, misalnya menawarkan persembahan muzik live manakala jika mahu suasana yang berbeza bolehlah ke bar-bar bertema seperti Atelierul Mecanic, Papiota dan Energiea.

Sabtu

ARTHENAEUM menjadi medan mengasah bakat karyawan seni di Bucharest.

Mulakan pengembaraan dengan perkhidmatan kereta api bawah tanah ke Piata Romana melepasi pasar Amzei sehingga ke Piata Revolutiei. Ia terkenal dengan deretan bagunan bersejarah termasuk sebuah istana lama yang kini dijadikan Muzium Kesenian Kebangsaan, galeri menempatkan karya-karya seni di Romania dan Eropah.

Terdapat sebuah dataran di antara istana dan bekas ibu pejabat parti komunis di situ. Ia merupakan lokasi tercetusnya revolusi pada tahun 1989 yang menyaksikan Ceausescu melarikan diri dengan menggunakan helikopter untuk mengelak ditangkap dan dibicarakan.

Di tengah-tengah dataran pula terdapat sebuah monumen untuk memperingati mangsa yang terkorban semasa revolusi itu.

Sepanjang berada di situ, anda boleh melawat beberapa tarikan lain seperti gereja Cretulescu atau Athenaeum, dewan filharmonik yang direka berdasarkan seni bina neoklasik.

Teruskan pengembaraan ke Calea Victoriei, melepasi gereja-gereja bersejarah, taman-taman dan Cantacuzino Palace, sebuah muzium yang menempatkan karya komposer terkenal Romania, Enescu.

Jika masih belum puas melawat, bolehlah ke Muzium Desa Romania dibina berdasarkan reka bentuk Rom.

Ia menyimpan pelbagai khazanah seni, tekstil dan dokumen mengenai sejarah silam. Di dalamnya juga terdapat sebuah pangung wayang, kedai cenderamata dan gerai-gerai jualan.

Sekiranya mahu menjamu selera, terdapat sebuah kafe yang menawarkan makanan tradisional Romania di belakang muzium itu.

Halakan langkah melepasi beberapa taman rekreasi menuju ke Bulevardul Aviatorilor.

Di situ terletaknya vila-vila berkonsepkan seni moden Art Deco yang menggagumkan. Kini ia dijadikan pejabat-pejabat kedutaan asing di negara itu.

Sekiranya mahu merasai pengalaman sedikit berbeza, naik trem nombor satu yang bakal membawa anda mengelilingi sekitar bandar raya sehingga ke Piata Victorei.

Sepanjang dua jam perjalanan, anda berpeluang melihat kawasan penempatan dan komersial serta jambatan baharu, Pasajul Basarab yang menghidangkan panorama keseluruhan bandar raya itu.

Ahad

JIKA Paris terkenal dengan monumen Arc de Triomphe, Bucaharest pula berbangga dengan monumen Archof Triumph.

Mulakan hari itu dengan menaiki teksi ke Casa Poporului atau Istana Rakyat. Dengan keluasan kira-kira 340,000 meter persegi, ia diiktiraf sebagai bangunan kedua terbesar di dunia.

Bangunan pelbagai fungsi yang turut menempatkan Parlimen Romania itu dibina oleh Ceausescu pada akhir 1970-an.

Apa yang pasti, sepanjang lawatan, anda akan menggunakan tenaga yang banyak untuk meneroka bangunan itu.

Menggunakan ribuan tan kristal, marmar dan kayu, Ceausescu berharap ia menjadi simbol kuasanya di Romania tetapi sebaliknya polisi sosial yang dibawanya mendapat tentangan rakyat.

Istana Rakyat menyaksikan tindakan kejam Ceausescu yang memusnahkan banyak kawasan penempatan, gereja dan rumah ibadat.

Mereka bukan setakat diusir dari kediaman sendiri malah turut menderita akibat langkah penjimatan kerajaan dalam usaha merealisasikannya.

Di belakangnya, terdapat Muzium Kesenian Kontemporari berserta kafe yang menawarkan panorama keseluruhan bandar raya itu

Berjalan kaki ke Armenian Church di Bulevardul Carol II sambil melihat realiti kehidupan masyarakat di Pusat Sivik. Sebaik tiba, anda boleh bersiar-siar di sekitar kawasan yang dikelilingi vila-vila gaya Perancis, blok apartmen moden dan istana pasca neo-Romania yang dilitupi tumbuhan-tumbuhan menjalar.

Teruskan perjalanan ke Gradina Icoanei dan di situ anda boleh lihat lebih banyak vila di sekitar Bulevardul Dacia yang turut menempatkan kawasan pejabat kedutaan asing. Jika berkesempatan nikmati secawan kopi panas di Try La Calderon 80 atau di Gargantua.

Di situ terletaknya blok-blok apartmen yang luas, diwarisi daripada era komunis dahulu. Bagaimanapun, perlahan-lahan ia kini berwajah baharu dengan pelbagai pengubahsuaian sesuai dengan perkembangan zaman.

Hakcipta terpelihara

 

Dapatkan tip dan info penting tentang travel di www.triphackerz.com

Sewa Pocket Wifi ketika travel di sini [Samurai Wifi] [Roaming Man]

Khidmat translate semua bahasa di VEQTA.com

Dapatkan Medical Insurance terbaik ketika travel di Medical Departures 

4 COMMENTS

  1. Salaam..

    Saudara faizal dah penah ke romania ke? Boleh bagi tips? Selamat tak utk perempuan travel ke sana? Saya n sorg kawan saya plan nak ke sana tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge