Jom ke New South Wales (NSW) Australia

ANDAI kata anda ingin mengembara ke Australia, apa kata singgah ke New South Wales (NSW) pasti anda akan merasai suatu pengalaman berbeza.

NSW yang terletak di bahagian Timur Australia mempunyai banyak kelebihan yang tidak terdapat di tempat lain.

Antaranya BridgeClimb dengan tinggi 134 meter dari aras laut memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Di puncak jambatan, anda boleh mengabadikan gambar berlatar belakang pemandangan indah Pelabuhan Sydney terutama semasa matahari tergelincir.

Selain itu anda juga boleh ke Pulau Cockatoo bagi melihat keindahan bandar pelabuhan dan bangunan lama bagi mengimbau ke zaman silam sambil menghirup secawan kopi.

Dalam tahun 2010, Pulau Cockatoo bersama-sama dengan 10 lagi tapak bersejarah di Australia telah tersenarai dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Terletak di tengah-tengah Pelabuhan Sydney, anda boleh ke Fort Denison bagi mengimbau kembali kenangan serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Ke dua.

Sehingga kini hanya salah satu daripada Menara Martello yang terselamat di hemisfera Selatan semasa serangan dan tinggal kenangan.

Lebih menarik meriam di sana akan meletup pada pukul satu setiap hari.

Tetapi jangan sesekali lupa untuk ke Sydney Opera House yang menjadi mercu tanda NSW sambil minum petang di Guillaume, Bennelong atau High Tea (setiap petang Rabu).

Setelah itu anda boleh menaiki feri dari Circular Quay ke Taronga Zoo yang dipenuhi pelbagai haiwan yang tidak pernah anda lihat seperti echidna, koala dan kangaroo.

Kemudian anda boleh ke Sydney Aquarium di Darling Harbour bagi melihat pelbagai hidupan laut seperti dugong dan ikan terumbu karang.

Lelah berjalan, apa kata berehat sebentar untuk membasahkan tekak dengan koktail di Blu Bar on 36, Shangri-La Hotel sambil menikmati pemandangan indah Sydney dari tingkat 36.

Bagi mereka yang gemarkan seni, boleh ke Art After Hours di Galeri Seni NSW yang beroperasi setiap Rabu petang. Di sana terdapat banyak program melibatkan ceramah, lawatan dan beberapa acara khas.

Bagi yang gemar membeli belah, mereka boleh berkunjung ke Chic in the City Shopping tour yang akan memberikan pengalaman membeli-belah yang berbeza.

Di sana semuanya ada! Anda tidak tahu memilih? Jangan bimbang. Ada jurujual akan membantu memilih pakaian yang sesuai dengan anda.

Penat membeli belah mereka boleh menghilangkan lelah sambil mencicip Ricotta hotcakes di sama ada Darlinghurst, Woollahra atau Surry Hills.

Selepas bertenaga, anda boleh sambung membeli belah di sepanjang Sydney’s style-mile Oxford Street sehingga ke William Street.

Anda juga boleh membeli-belah sepanjang Queen Street di Woollahra, berkunjung di Simon Johnson providore, Victor Churchill butcher dan Donna Hay General Store di Sutherland Street.

Sydney juga terkenal sebagai kota fesyen dengan lebih 60 peratus pereka menggelar tempat ini sebagai rumah mereka. Sydney adalah syurga bagi pereka dan penggemar fesyen.

Sambil membeli-belah dan tekak terasa dahaga? Terdapat kedai kopi untuk disinggahi seperti Swell Restaurant yang terkenal di Bronte.

Bagi mereka yang gemar sukan luncur air, inilah syurganya dan bagi yang mahu berjinak-jinak mereka boleh mempelajarinya di sini.

Bagi mereka yang suka makan, apa kata ke The Rocks Pub Tour, The Rocks Ghost Tour atau di Pie floater di Harry’s Café de Wheels.

Apa kata belajar mengenai sejarah penduduk asal Sydney sambil menaiki Tribal Warrior Cruise di Sydney Harbour. Sambil belayar, berhibur dan menjamu selera anda dapat mengenali lebih lanjut budaya penduduk asal

Selepas itu apa kata ke Paddington yang mempunyai ruang dengan keluasan 1,023 meter persegi.

Selepas dibaik pulih ia adalah lokasi bagi pergerakan grafiti yang menconteng dinding berkenaan dengan lukisan mural.

Kini, dinding berkenaan telah dipulihara dengan kos yang tinggi dan menjadi tempat memasarkan hasil seni dan festival filem.

Selesai dengan seni apa kata mencuba sukan lasak JetBoat di Sydney Harbour selain pelbagai lagi aktiviti lain

Jangan lepaskan peluang ke Pacific Coast, Rainforest Way, Grand Pacific Drive, Sydney – Melbourne Coastal Drive, The Greater Blue Mountains Drive yang kaya dengan pelbagai tarikan untuk pengunjung.

Anda juga boleh menaiki feri atau teksi air untuk makan tengahari fish and chip di Manly Wharf.

Terus saja berlayar di Sydney Harbour dengan EastSail dari Rushcutters Bay sambil menikmati pemandangan indah.

Selepas itu anda boleh berjalan kaki ke kawasan perkampungan Potts Points sambil menghayati seni binanya.

Singgah sebentar di Café Sopra di Fratelli Fresh bagi makan tengahari dan hidangan petang dengan kopi dan kek di The Yellow Bistro dan Food Store.

Walaupun tidak membeli ikan, jom ke Sydney Fish Market, bagi melihat pasar ikan terbesar di hemisfera Selatan,

Tapi jangan lupa hiburan terkini dan pilihan lokasi makan malam yang terletak di George Street.

Anda juga boleh memilih untuk makan di salah satu restoran yang memenangi pelbagai anugerah seperti Quay, Pier, Tetsuya’s, Marque, Rockpool Bar + Grill, Becasse, Longrain, Otto atau Longrain.

Selesai makan malam, apa kata kita menonton persembahan teater di Sydney Theatre Company di bawah pengarah artis terkenal Cate Blanchett.

Esoknya selepas sarapan, anda boleh menaiki feri ke Watson’s Bay untuk makan tengahari dan berjalan pulang sambil menikmati pemandangan sepanjang pantai.

Anda juga boleh menikmati suasana matahari terbenam sambil menikmati koktail di Opera Bar di Circular Quay sambil melihat feri pergi dan balik.

NSW juga mempunyai pelbagai keindahan alam semulajadi yang memukau pemandangan.

Sama ada trek pejalan kaki di Sydney Harbour National Park, World Heritage Gondwana Rainforests di bahagian utara, kawasan separa gurun atau terumbu karang di kawasan Lord Howe Island.

NSW mempunyai pelbagai keindahan alam yang menunggu untuk diteroka antaranya pantai terindah di dunia dengan ikan lumba-lumba yang jinak.

Malah terdapat banyak peluang untuk melihat haiwan liar di beberapa kawasan santuari di Sydney dan kawasan sekitarnya.

Apa lagi, jom ke NSW. Segalanya ada di sana!

© Utusan Melayu (M) Bhd

#TIPTRAVEL: SEWA POCKET WIFI SEBELUM FLY!!! BOLEH SEWA POCKET WIFI DI SINI
#BERTUKAR KEPADA WORDPRESS? BOLEH BELI HOSTING DAN DOMAIN DI DIGITALPREFIX

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge