FENOMENA kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) kian menjadi trend dalam kalangan remaja hari ini.
Boleh dikatakan kamera jenis ini sering diusung ke mana sahaja tidak kira masa, sama ada keluar bersama rakan, melakukan aktiviti riadah mahupun ketika bercuti.
Kamera itu bukan sahaja dapat mengambil gambar, bahkan juga merakam video, sekali gus menjadi sebuah kamera serba guna yang digilai remaja hari ini.
Dengan efek-efek yang menarik jika tahu menetapkan pada keadaan tertentu dan ditambah dengan efek komputer akan menaikkan lagi seri gambar tersebut.
Ada antara mereka yang hanya mengambil gambar secara suka-suka seperti dimuat naik ke laman sosial Facebook dan ada juga yang bercita-cita untuk menjadi jurufoto.
Adakah kamu tahu kegilaan terhadap kamera jenis ini sebenarnya boleh mendatangkan keuntungan bagi mereka yang tahu cara bagaimana untuk menjadikan kamera tersebut sebagai modal perniagaan.
Jadi pada minggu ini .com ingin berkongsi sedikit info dan tip bagi merealisasikan minat terhadap kamera dalam menjana pendapatan tambahan yang menguntungkan.
Bagi remaja yang ingin menjadikannya sebagai kerjaya, bolehlah mula belajar teknik dan nasihat dari Pixelworks Studio yang sudi berkongsi pengalaman dengan kamu. – AMIRUL/AZRUL
UNTUK menjadi seorang jurufoto tidak kira jurufoto acara, perkahwinan, model ataupun produk, seseorang itu perlu tahu serba sedikit asas fotografi, tidak kira belajar secara formal ataupun bersama mereka yang lebih arif.
Dalam hal ini, kita boleh lihat begitu ramai remaja yang membeli kamera pada hari ini dan esok sudah menggelarkan diri mereka sebagai jurufoto.
Semua orang boleh mengambil gambar tetapi tidak semua boleh mengambil gambar dengan baik beserta elemen-elemen fotografi yang menakjubkan.
Semuanya memerlukan pengalaman dan teknik. Jadi, bagi rakan-rakan yang ingin menjadi seorang jurufoto yang baik, kamu perlu sentiasa menimba pengalaman dan pelajari teknik yang betul.
Sebagai contoh, seorang jurufoto majlis perkahwinan perlu tahu susun atur sesuatu majlis dan pandai bermain dengan persekitaran acara tersebut.
Bagi yang tiada pengalaman, memang sukar untuk mendapatkan shoot menarik kerana perjalanan acara tidak boleh diulang sekali lagi kerana kebanyakannya adalah dengan gaya spontan.
Justeru itu, seorang jurufoto hendaklah pandai bermain dengan keadaan dan seterusnya dapat memberikan gambar-gambar yang menarik kepada pelanggan.
MOHD. RADZI MOHD. ZIN, 28
Jurufoto dan video DSLR
SEMUANYA bermula selepas peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), apabila saya mula berjinak-jinak mengambil gambar dengan menggunakan kamera jenis filem. Boleh dikatakan saya kerap jadi ‘bidan terjun’ untuk mengambil gambar majlis perkahwinan. Minat mengambil gambar itu bermula apabila seorang kawan menyuruh saya mengambil gambar majlis perkahwinannya pada 2000.
Sejak itu, saya menjadikan dunia fotografi sebagai satu kerjaya. Sebagai seorang jurufoto, paling penting bukanlah sebuah kamera yang mahal atau canggih tetapi minat terhadap bidang tersebut. Seorang jurufoto yang baik, perlu pandai ‘bermain’ dengan gambar yang diambil dan ditambah pula ada penceritaan dalam sesuatu gambar itu.
Dahulu, jika mengambil gambar perkahwinan, pengantin akan hanya berdiri tegak berdua atau pun bersama ahli keluarga. Kini, gambar yang menarik adalah rakaman aksi-aksi spontan bersama ahli keluarga dan juga sahabat handai yang menceriakan suasana majlis. Bagi rakan-rakan di luar sana, bolehlah menjadikan majlis perkahwinan abang atau kakak serta saudara mara sebagai tempat ‘permainan’ untuk belajar mengambil gambar yang menarik.
RAJA AMROL AZUAN RAJA ADLAN, 29
Jurufoto DSLR
JADI jurufoto perlu fleksibel dan boleh menerima apa jua situasi bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan mereka. Dalam pada itu, pakaian dan juga tatatertib seorang jurufoto perlulah selari dengan majlis. Memang ramai jurufoto terutama di kalangan remaja yang selesa berpakaian seluar pendek dan juga berkemeja T sahaja, namun jika acara di rumah ibadah mungkin pakaian itu tidak sesuai. Pemakaian dan tingkah laku perlulah mencerminkan diri kamu seorang yang profesional walaupun masih lagi belajar.
NUHAIRI AZUWAN NAYAN, 30
ELEMEN hiburan, spontan, aksi dan klasik memberi suasana ceria kepada sesebuah majlis. Pemilihan lagu juga dapat memberi video sinematografi yang menarik, ditambah lagi kecekapan jurufoto dan video memainkan peranan dalam setiap rakaman mereka. Ia bukan saja memberi kesan yang mendalam kepada penonton, bahkan juga menceritakan suasana gembira dan riang majlis tersebut.
MUHAMMAD SYAFIQ KASAH FADHIL KASAH, 21
MENGHIDUPKAN suasana dalam sesebuah gambar banyak bergantung kepada teknik dan pengalaman jurufoto. Gambar yang menarik akan memberi kesan mendalam terhadap sesebuah gambar yang dirakamkan. Bak kata perumpamaan, ‘gambar menceritakan seribu makna’ begitulah harga sesebuah gambar yang baik.
NORAZILA YUSOP, 29
SAYA tidaklah begitu mahir menggunakan kamera ini, tetapi saya membelinya juga kerana kualiti gambar yang dihasilkan itu menarik.
Kalau hendak dikatakan ikut trend, pada saya itu tidak betul kerana saya membeli sesuatu untuk mendapat kepuasan dengan nilai yang dikeluarkan.
SAPURA MOHD. SHAHARUDIN, 18
SEBELUM ini, saya memang selalu mengikut kawan saya merakamkan gambar majlis perkahwinan.
Saya beli kamera sendiri pun atas nasihat rakan yang melihat kerjaya ini mampu memberi pendapatan sampingan, terutama kepada pelajar.
MUHAMAD SADDAM AMIRUL SALIM, 21
Pelajari asas fotografi
– KENALI hukum dan teknik yang betul sebelum memulakan tugas sebagai jurufoto, tidak kira sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.
Pengalaman
– SETIAP acara adalah berlainan dengan acara yang lain, jadi pengalaman boleh membantu seorang jurufoto menjadi jurufoto yang baik.
Minat
– INI merupakan perkara paling penting kerana dengan minat yang mendalam dan sanggup belajar perkara baru, dapat membantu seseorang jurufoto menjadi lebih baik.
Tanggungjawab
– SESUDAH bergelar jurufoto, tanggungjawab yang dipikul adalah berat bagi memastikan gambar acara yang diambil memenuhi kehendak pelanggan.
Etika
– SETIAP majlis mempunyai etika tersendiri. Sebagai jurufoto, mereka hendaklah memahami protokol sesuatu majlis dan dimana tempat itu berlangsung agar tidak melanggar sebarang etika.
© Utusan Melayu (M) Bhd