Terbang Ke Perth Australia Tajaan Air Asia - Faizal Fredley

Terbang Ke Perth Australia Tajaan Air Asia

 

penulis teruja menyentuh kangaroo di Zoo Perth.

BAK kata orang, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik negara sendiri’. Namun tidak salah ke negara orang untuk mengutip pengalaman. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjejakkan kaki di bumi kangaroo ini. Alhamdulillah, tanggal 7 Julai 2011, buat pertama kalinya saya bersama ibu terbang ke Perth.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada pihak yang memberi peluang keemasan ini dengan menaja tiket penerbangan AirAsia kami berdua pergi dan balik.

Selama tiga hari dua malam kami di sana, pelbagai kenangan menarik yang kami perolehi.

Sewaktu percutian kami adalah musim sejuk. Sebelum ke sana, saya mencari maklumat tentang Perth melalui Internet.

Kebetulan, salah seorang kenalan pernah belajar di salah satu universiti di Perth. Saya menghubungi beliau untuk mengetahui tempat-tempat menarik yang perlu dilawati.

Beliau meyakinkan saya supaya melawat Zoo Perth and mencuba makanan ‘Fish and Chip‘ yang terkenal di sana.

Kami menyewa hotel di tengah-tengah bandar Perth dan saya memilih City Water Hotel yang berdekatan dengan kawasan membeli-belah.

Setibanya di Lapangan Terbang Perth, suhu mencecah 10 darjah Celcius. Dari lapangan terbang, kami menaiki bas terus ke hotel.

Bas ini disediakan khas untuk penumpang dari lapangan terbang ke destinasi yang ditetapkan dan sebaliknya. Harganya agak berpatutan.

Setibanya di hotel pada pukul 7 pagi, kami meninggalkan barang pada penyambut tetamu kerana kami sepatutnya mendaftar masuk pada pukul 10 pagi.

Saya bertanyakan arah Zoo Perth pada penyambut tetamu dan dia memberikan saya peta.

Sepanjang perjalanan melalui Swan River menuju ke jeti, kami sempat bergambar kenangan. Sungguh cantik pemandangannya.

Pada mulanya saya berasa pelik kerana semua kaunter tiket tutup, bagaimana saya ingin membeli tiket. Rupa-rupanya tiket mestilah dibeli di mesin tiket. Dengan dibantu oleh salah seorang pengguna jeti, kami mendapatkan tiket dengan harga $1 seorang. Sungguh murah.

Perjalanan menaiki feri mengambil masa kira-kira 10 minit. Pemandu feri yang melihat kami seperti rusa masuk kampung bersedia memberi bantuan.

Beliau menunjukkan arah ke zoo yang tidak jauh dari jeti. Kami juga sempat bergambar kenangan.

Ketika kami sampai, zoo masih belum dibuka. Kami berjalan di sekitar sementara menunggu pintu dibuka.

Ketika bergambar, datang seorang pekebun menawarkan diri untuk mengambil gambar kami.

Saya sangat kagum dengan sikap peramah orang Perth. Bukan itu sahaja, mereka sangat menghormati pejalan kaki. Sebagai contoh, mereka memberhentikan kereta tatkala melihat kami ingin melintas jalan.

Tidak seperti apa yang saya lihat di Malaysia, rata-rata pemandu sukar untuk memberhentikan kereta atau memberi laluan kepada pejalan kaki walaupun di laluan pejalan kaki.

Lebih kurang tiga jam kami berjalan-jalan sekeliling dari utara ke selatan timur dan barat. Betapa besarnya Zoo Perth sehingga kaki ibu melecet.

Aku sempat melihat bagaimana pekerja-pekerja zoo memberi makan kepada orang utan dan binatang-binatang lain.

Seronoknya, aku dapat melihat kangaroo dengan lebih dekat kerana tidak berpagar. Kangaroo bebas bergerak.

Aku berkesempatan memegang dan bergambar secara dekat dengan haiwan yang menjadi lambang Australia ini. Akhirnya sampai juga hajat saya. Alhamdulillah.

Sebelum keluar dari zoo, kami singgah di kedai cenderamata. Kerana tidak tahan dengan kesejukan 10 darjah Celcius, ibuku membeli baju panas.

Keluar sahaja dari zoo, kami bertukar kasut kerana ibu tidak tahan kesakitan kaki melecet.

Sebaik-baiknya, jika berjalan jauh, pakai kasut yang terbuka supaya kaki kita terdedah kepada udara, dapat bernafas dan tidak sakit.

Selepas penat mengelilingi Zoo Perth, kami singgah makan di Restoran Singapura. Ibu mencuba mi kari.

Pada mulanya kami risau untuk mendapatkan makanan halal. Syukur Alhamdulillah, ada juga restoran Muslim di bumi Perth.

Kami berkenalan dengan salah seorang pembantu restoran yang juga seorang pelajar Malaysia yang bekerja sambilan sepanjang musim sejuk.

KeindahanDestinasi seterusnya kami menaiki bas yang dipanggil CATS (Central Area Transport Service) ke Hay Street yang terdapat banyak kedai cenderamata.

Pada mulanya, kami keliru untuk menaiki bas yang mana satu kerana terdapat tiga jenis; Blue Cat, Red Cat and Yellow Cat malah ketiga-tiganya menghala ke arah yang berlainan.

Saya dan ibu hanya bertawakal dan kami memilih Blue Cat lalu turun di Hay Street.

Setelah penat menjamu mata sepanjang Hay Street, kami berjalan pulang ke hotel untuk daftar masuk. Perjalanan lebih kurang 10 minit untuk pulang ke hotel.

Setelah berehat menghilangkan penat, solat jamak asar dan zuhur, kami keluar semula untuk menikmati keindahan bandar Perth.

Di Perth, malamnya lebih panjang daripada siang. Mengikut kata rakan saya, ada satu hari yang kedai-kedai dibuka sehingga larut malam tapi beliau tidak pasti harinya. Saya bertanya kepada penyambut tetamu untuk memastikannya dan rezeki kami pada hari itu kedai dibuka sehingga pukul 9 malam.

Dari satu kedai ke satu kedai kami masuk. Di salah sebuah kedai, kami terserempak dengan sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang datang untuk memenuhi salah satu aktiviti kurikulum mereka.

Kami juga sempat singgah di sebuah pasar raya. Saya berasa kagum dengan masyarakat di sana kerana mereka saling mempercayai.

Ini dibuktikan dengan sistem pembayaran layan diri. Pembeli hanya perlu imbas pada kaunter dan memasukkan duit mengikut nilai yang tertera. Semuanya dilakukan sendiri oleh pembeli.

Aku dan ibuku juga mencuba dengan dibantu oleh pekerja di situ. Pada pendapat saya, kaedah ini sangat efektif dan dapat melahirkan manusia yang jujur dan bertanggungjawab.

Hari berikutnya, kami pergi ke Harbour Town di mana terdapat jualan runtuh sempena musim sejuk. Ia seperti sebuah pusat membeli-belah.

Kami sempat menikmati makanan seperti murtabak di Malaysia.

Kemudian, kami berjalan kaki ke stesen kereta api untuk ke Freemantle yang perjalanannya lebih kurang 20 minit dari Perth.

Saya terkejut apabila melihat basikal juga menaiki tren.

Walaupun tiada pengawal, mereka tetap masuk mengikut laluan yang disediakan menggunakan kad seperti ‘touch & go‘.

Fremantle adalah tempat seperti Pasar Seni yang banyak menjual barangan buatan tangan. Persekitarannya bersih, kemas dan teratur.

Seterusnya, dalam perjalanan pulang ke hotel untuk merehatkan badan kami singgah di sebuah restoran untuk menikmati ‘fish and chips’.

Selepas solat kami keluar semula berjalan-jalan menghirup udara malam sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Perth.

Kami bertolak ke lapangan terbang Perth pada pukul 3 pagi kerana penerbangan pulang ke Malaysia pada pukul 6.30 pagi.

Di lapangan terbang, pegawai imigresen mengingatkan saya supaya memperbaharui pasport sebelum pulang semula ke Perth.

Pada waktu itu berbaur di hati berkata Insya-Allah suatu hari nanti pasti akan saya jejak kaki di bumi Perth lagi.

Percutian ini meningkatkan lagi semangat saya untuk terus menabung dan memotivasikan diri menjadi insan lebih baik, menghormati dan menyayangi orang lain.

Walaupun pertama kali berada di bumi Kangaroo, kami tidak berasa terasing kerana penduduknya sangat ramah dan sentiasa bersedia membantu pelancong seperti kami.

Saya berbangga kerana hanya berpandukan peta, pertolongan rakan dan bantuan penduduk tempatan kami dapat menikmati segala keindahan di Perth tanpa pemandu pelancong.

© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Aku ni Graduant Engineering dari Tingkatan 4 sampai lah Diploma, Degree dan Master. PhD je belum tentu nak sambung ke tak. Jadi, jangan aspect ayat aku macam budak Masscom yang study benda2 macam ni....lagipun ni blog personal tak ada kaitan dengan sesiapa....

3 Comments

  1. Asyrof Asri

    June 20, 2013 at 3:16 PM

    Tak boleh jadi!

    Wajib pergi jugak ni.

    Cemburu! 🙂
    Asyrof Asri recently posted..Koleksi Gambar Hadiah Blogger Contest Tanah ArabMy Profile

  2. iAwani

    November 3, 2012 at 4:48 PM

    tiga hari tu macam tak cukup, bro. Rasa nak tiga minggu!

  3. ::Terbang Bersamaku:::

    October 29, 2012 at 12:12 AM

    untungnya dapat pegi melancong oversea….
    mesti seronok….(^____^)
    entah bilalah agaknya sy dpaat merasa pelung macam nie….
    ::Terbang Bersamaku::: recently posted..Lelaki Merokok….Macho atau Hancur…???My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge