Percutian Gabungan Pantai Dan Gurun di Benua Afrika - Faizal Fredley

Percutian Gabungan Pantai Dan Gurun di Benua Afrika

Dengan lautnya indah membiru pantai Laut Mediteranean terkenal dengan keindahan dan pasir pantainya yang putih dan bersih.

MESIR, di utara benua Afrika antara negara yang begitu dekat di hati para pelancong dari serata dunia. Tentunya kerana “Kota Seribu Menara” ini, memiliki salah satu daripada mercu keajaiban dunia, iaitu piramid yang mencetuskan seribu satu misteri. Di bahagian utara Mesir pula, Iskandariah, iaitu bandar raya kedua terbesar selepas ibu negaranya, Kaherah terkenal sebagai bandar pelabuhan antara yang paling sibuk di dunia.

Iskandariah turut memukau pandangan dengan keindahan pesisiran pantai Laut Meditteranean yang indah membiru dan sering menjadi pilihan utama kepada pasangan untuk berbulan madu!

Pendek kata, melancong ke Mesir memerlukan masa berhari-hari lamanya untuk disudahkan.

Selain keunikan alam semula jadi, negara ini menyimpan beribu-ribu artifak khazanah berharga dan bersejarah dari zaman purba, zaman Firaun yang mencapai taraf peradaban dunia sehinggalah kepada pelbagai dinasti kerajaan Islam yang sangat gemilang suatu masa dahulu.

Namun jarang sekali, kita mendengar nama Al-Arish dalam peta pelancongan Mesir. Sedangkan nama itu telah mencatatkan satu pengalaman menarik yang dilalui oleh penulis baru-baru ini.

Al-Arish, sebuah bandar pelancongan pesisiran pantai Laut Mediteranean yang begitu indah namun keunikannya berbeza berbanding di tempat lain.

Ini apabila pantai dan padang pasir gurun bersatu. Iaitu Gurun Sinai yang jauhnya dari Kaherah kira-kira 344 kilometer ke pantai timur Semenanjung Sinai, Mesir.

Penulis berpeluang ke Al-Arish dalam perjalanan bersama-sama anggota sukarelawan NGO Aqsa Syarif dalam menjayakan misi Aqsa2Gaza8, iaitu menyerahkan bantuan bernilai RM2.5 juta untuk penduduk Gaza, Palestin pada bulan Ramadan lalu.

Gaza satu-satunya wilayah Palestin yang masih diperintah oleh rakyat Palestin tetapi menerima tekanan yang teruk daripada pihak Israel termasuklah jiran ‘saudara’ sendiri, iaitu Mesir.

Lalu untuk ke Al-Arish, kita memerlukan masa selama enam hingga tujuh jam perjalanan menaiki kenderaan.

Keesokan paginya kami menyambung perjalanan menuju ke sempadan Mesir, Rafah untuk memasuki Gaza.

Walaupun masih sempat untuk sampai ke pintu sempadan tetapi akibat peraturan ketat oleh pihak Imigresen Mesir, secara automatik pintu sempadan akan ditutup tepat pukul 5 petang.

Jadi kami perlu bermalam di Al-Arish, berehat atau menjamu mata menikmati pemandangan yang ada sementara hati berdebar-debar menanti cabaran apa yang bakal menanti di Gaza.

Al-Arish menjadi rebutanKami menaiki sebuah van pelancong yang dipandu seorang Sheikh Arab, Muhammad, rakyat Mesir yang dikira ramah bertegur sapa dengan kami yang rata-rata agak tumpul berbahasa Arab.

Sepanjang perjalanan yang melalui satu sistem lebuh raya moden tanpa tol, namun ‘penuh’ dengan sekatan pemeriksaan tentera, menjadi satu pengalaman cukup berharga.

Dada pasti berdebar kencang setiap kali van kami diperiksa oleh anggota tentera Mesir namun debaran bertukar rasa takjub apabila dapat menikmati keindahan padang pasir Gurun Sinai yang sangat terkenal itu.

Gurun ini dahulunya dilalui oleh Nabi Allah Musa dan para pengikut baginda, kaum Bani Israel yang lari (exodus) dari kekejaman Firaun menuju ke Palestin.

Tentulah yang paling menarik juga apabila dikatakan pengasas fahaman Zionis, Theodore Herzl mencadangkan supaya pulau Cyprus atau Al-Arish dijadikan ‘negara Yahudi’ (Jewish Homeland) apabila banyak tentangan diterima untuk menjadikan Palestin sebagai negara Yahudi.

Al-Arish sentiasa menjadi rebutan antara Mesir dan Israel sehinggalah pada 1979 melalui perjanjian Perjanjian Damai Kem David Israel – Mesir, Al-Arish berjaya dikembalikan semula kepada Mesir.

Sebelum memasuki Wilayah Sinai, anda akan melalui Bandar Ismailiyya, dengan pemandangan yang sangat memukau selera apabila di kiri kanan jalan terdapat ladang-ladang mangga dengan buahnya sedang ranum.

Di sepanjang bahu jalan, terdapat berderet-deret gerai yang menjual buah mangga yang membuatkan kita teruja untuk membeli.

Dikatakan mangga-mangga keluaran Ismailliyya membantu menjadikan Mesir antara pengeksport mangga terbesar dunia. Antara yang popular mangga jenis “Sukkary” (Sugary) bermakna penuh dengan ‘gula’ mempunyai rasa manis yang tidak terhingga!

Sejurus memasuki padang pasir Sinai, di saat matahari mula rembang senja, ia menjanjikan satu pemandangan mengusik jiwa seorang perantau.

Walaupun van kami dipandu laju, namun sempat melihat kelibat penduduk Arab Badwi di perkampungan yang sangat sederhana dengan masing-masing telah berkumpul di kawasan lapang untuk berbuka puasa dan mendirikan solat Maghrib berjemaah.

Selepas melepasi Bandar Port Said, akhirnya kami selamat tiba di bandar peranginan Al-Arish yang kami dapati begitu sunyi dicengkam gelap malam.

Benar-benar sepi walaupun deruan kenderaan sesekali lalu-lalang di jalan besar yang agak suram disimbah cahaya neon lampu jalan.

Tatkala itu, kami mula diperdengar deruan ombak laut yang kuat menghempas pantai yang menjadi ‘irama’ alam untuk dinikmati sepanjang hampir 30 kilometer melalui bandar Al-Arish.

Itulah fakta yang menjadikan Bandar Al-Arish begitu terkenal kerana mempunyai pesisiran pantai yang dikatakan terpanjang di dunia! Maka yang kelihatan di sepanjang bandar itu adalah deretan hotel penginapan bertaraf mewah dan pelbagai reka bentuk seni bina yang menarik, banglo-banglo yang menjadi chalet-chalet mewah untuk para pelancong.

Dengan pelbagai keistimewaan dan daya tarikan pelancongan tepi pantai termasuk juga padang pasir Gurun Sinai itu, Al-Arish sebenarnya sejak dahulu lagi gemar dikunjungi oleh pelancong dari Israel.

Kedudukannya yang hampir dengan Israel, menyebabkan penduduk Yahudi termasuk para pendatang haramnya gemar ke Al-Arish lebih-lebih lagi keselamatan mereka di situ terjamin di era pemerintahan bekas Presiden Mesir yang dijatuhkan rakyat, Hosni Mubarak.

Pertukaran kepada Presiden Dr. Mohammad Morsi, memperlihatkan dasar dan sikap yang cukup berbeza berbanding Mubarak, sekali gus memberikan impak kepada aktiviti pelancongan di Al-Arish.

Tiada lagi fenomena kehadiran pelancong-pelancong Israel yang berani ke bandar itu lagi.

Habuk-habuk tebal di dalam banglo penginapan tepi pantai yang menjadi lokasi persinggahan kami malam itu menjadi bukti bahawa Al-Arish sudah kehilangan pengunjung setianya.

Matahari Al ArishBegitupun sempat menghirup udara malam di kaki lima sebuah kafe sambil meneguk air jus mangga segar yang dikisar bersama air batu adalah caranya kami menikmati keindahan malam di bandar Al-Arish itu.

Sambil deruan dan deburan air laut Meditteranean yang menghempas pantai menjadi lagu yang mengiringi santapan malam kami yang sangat menyelerakan.

Meratah roti arab, bersama daging kebab yang dibakar enak, salad dan yogurt, kami sangat mengharapkan malam seperti itu tidak akan berakhir!

Seusai subuh esoknya, saya bagai tidak sabar menikmati keindahan sang suria terbit di ufuk timur di Pantai Al-Arish.

Masya-Allah, paling indah yang pernah disaksikan! Cahaya keemasan yang sangat gemilang membuatkan air mata mengalir kerana begitu mengagumi keindahan alam ciptaan Tuhan!

Namun kehadiran saya di pantai telah menarik perhatian dua anggota tentera Mesir lengkap seragam celoreng hijau dan menyandang senjata automatik M-16 di bahu mereka.

“Kenapa anda berada di sini, anda tidak sepatutnya berada di pantai ini?” tanya mereka dengan raut wajah serius.

“Kenapa pula saya tidak boleh berada di sini?” tanya saya kembali.

“Bahaya!” jawab mereka serentak.Ketika itu barulah saya sedar bahawa, Al-Arish sebenarnya masih di ambang bahaya!

Bandar itu menjadi lokasi serangan dipercayai pemberontak yang setia terhadap Mubarak, menyebabkan kematian kepada 16 pengawal keselamatan Mesir yang berlaku pada awal Julai lalu.

Akibat kejadian ini jugalah yang menyebabkan jadual misi Aqsa2Syarif8 tertangguh berkali-kali dari jadual asal. Tidak hairanlah, jika Al- Arish bertambah sepi bagai dilanggar garuda dan kehadiran anggota tentera Mesir berkawal di sana sini.

Lalu pagi itu kami segera bergerak ke sempadan Mesir, Rafah untuk masuk ke Gaza. Malangnya, tanpa diduga dalam perjalanan itu, kami ‘ditahan’ dan ‘dikepung’ oleh anggota polis dan tentera di hadapan Kompleks Ibu Pejabat Polis Senai Utara.

Ketujuh-tujuh jantung yang ada di dalam van, berdegup kencang bagai hendak pecah dengan pemandu kami, Pakcik Muhammad kedengaran lantang ‘berhujah’ dalam bahasa Arab yang langsung tidak difahami untuk menyelamatkan kami.

Sehinggalah salah seorang anggota polis, berpangkat Inspektor dengan pistol tersisip di pinggang dengan tegas meminta salah seorang anggota misi Aqsa2 Syarif8 menyerahkan telefon genggam untuk diperiksa.

Rupa-rupanya kami dituduh mengambil gambar kawasan paling dilarang untuk dirakamkan gambar, iaitu kem tentera Al-Arish!

Bagaimana mereka tahu, persoalan itu sehingga kini tiada jawapannya. Setengah jam kemudian, dengan kereta perisai tentera yang mengiringi perjalanan di hadapan dan di belakang van kami, saya kini menjadi tidak sabar-sabar lagi untuk meninggalkan Al-Arish dan memasuki Gaza!

© Utusan Melayu (M) Bhd

“Every travel is a journey and every journey is a travel. No matter where you go, what you’re up to is a journey. Enjoy life, live with it and make peace of it. Our journey in life will end but not with our soul. Go beyond the journey and discover what life has to offer.”~Eacel Janubas~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge