Pelayaran Mewah 4 Hari 3 Malam di Laut Andaman - Faizal Fredley

Pelayaran Mewah 4 Hari 3 Malam di Laut Andaman

Acara terbuka di atas kapal untuk penumpang termasuk kepada peserta pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. bersama Utusan Malaysia sebaik saja berlepas dari pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Krabi dan Phuket, Thailand .

PERCUTIAN ke Krabi dan Phuket di Thailand dengan menaiki pesawat mungkin sudah biasa. namun jika anda memilih untuk ke sana dengan belayar menaiki kapal mewah SuperStar Libra, ia tentu memberi pengalaman baru dan menarik untuk dikenang.

Itulah yang dirasai penulis bersama lima pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. dan Utusan Malaysia yang berpeluang menginap di “hotel mewah terapung” yang belayar membelah Laut Andaman menuju ke Negara Gajah Putih itu baru-baru ini.

Sebaik sahaja SuperStar Libra memulakan pelayaran dari Jeti Swettenham, Pulau Pinang pada jam 5 petang, mood bercuti pantas meresap ke dalam jiwa setiap tetamu yang teruja menaiki kapal mewah berusia 23 tahun yang dibina di Finland itu.

Penumpang disajikan dengan hiburan percutian iaitu persembahan oleh Band H2O di Deck 9 iaitu kawasan berhampiran kolam sambil menikmati hidangan berbeku secara bufet.

Panorama indah iaitu menyaksikan matahari terbenam di Laut Andaman berserta hembusan angin petang yang mendamaikan bakal menemani pelayan hari pertama anda.

Aktiviti malam pertama meriah apabila dihiburkan dengan persembahan Simply Cabaret serta tarian oleh Dasha dan Dima dari Belarus yang pernah menjuarai Pertandingan Tarian Ballroom Dunia bertempat di Stardust Lounge di Deck 5 yang tersergam umpama pentas konsert di Arena of Star, Genting Highlands.

Kapal berlabuh di Krabi kira-kira pukul 9 pagi dan penumpang boleh turun dengan menggunakan pengangkutan feri dari kapal ke Jeti Ao Pra Nang.

Terkenal dalam peta pelancongan kerana memiliki antara gugusan kepulauan tercantik di dunia, namun Krabi bukanlah tempat percutian yang mempesonakan sepanjang tahun kerana jika kedatangan anda tidak kena pada waktunya terutamanya ketika musim hujan, percutian menjadi sedikit hambar!

Apa tidaknya, hujan dan ombak beralun agak berbahaya jika anda mahu berkunjung ke beberapa pulau terkenal seperti Pulau Poda, Pulau Tup, Pulau Ayam, Pulau Deang, Pulau James Bond Island mahupun Teluk Maya.

Menurut pemandu pelancong yang bernama Mat, waktu terbaik untuk melancong ke situ ialah sekitar Oktober hingga April kerana ketika itu cuaca panas terik apabila cahaya matahari akan memancar sekali gus membuatkan air laut kelihatan kehijau-hijauan.

Krabi mempunyai penduduk kira-kira 400,000 dengan 40 peratus daripadanya beragama Islam. Tidak hairanlah banyak masjid yang kelihatan membuatkan anda berasa tidak terasing.

Kapal mewah Super Star Libra membawa pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. bersama Utusan Malaysia.

Lokasi pertama di Krabi ialah Ladang Ikan Arapaima Gergasi di Jalan Pantai Klong Muang yang mana terdapat lebih 20 spesis ikan.

Anda boleh meniti titi yang dibuat untuk menyeberangi kolam buatan dan memberi makan kepada ikan. Paling menarik terdapat tiga ekor ikan naga atau araipama sepanjang hampir satu meter yang berwarna keemasan menunggu anda.

Selain itu, terdapat dua ekor buaya Siam yang dikurung dalam sangkar selain burung kakak tua yang begitu jinak.

Lokasi seterusnya yang dilawati ialah Kuil Gua Harimau yang mana mengikut cerita pemandu pelancong, Harimau dikatakan pernah muncul di situ satu masa dahulu.

Sebagai mengingati perkara itu, patung harimau dibina dalam gua berkenaan yang kini berfungsi sebagai Tokong Budha.

Soal mendapatkan makanan halal juga tidak menjadi masalah kerana banyak restoran makanan Islam seperti Restoran Terapung Randalay di Kong Jilad yang menawarkan hidangan tempatan Kari Hijau Ayam Hijau Ala Thai dan Tom Yam Putih Ikan yang cukup menyelerakan dinikmati ketika cuaca hujan.

Lokasi seterusnya ialah Ban Laempoh iaitu kawasan pantai yang menghadap Pulau Phi -Phi Island.

Bagaimanapun, disebabkan hujan lebat sepanjang hari, rombongan sedikit hampa kerana tidak dapat melihat pulau itu.

Di sini terdapat fosil batuan sepanjang lebih 100 meter yang terbentuk akibat proses alam semula jadi.

Menarik tentang fosil ini, pada mulanya ia dikatakan berusia 75 juta tahun namun kajian semula mendapati ia terbentuk sekitar 45 juta tahun lalu.

Hanya terdapat tiga tempat di dunia yang mempunyai fosil seperti itu iaitu di Amerika Syarikat dan Jepun.

Bagaimanapun, akibat hakisan ombak termasuk tsunami besar yang melanda kawasan itu pada 2004, 30 peratus fosil itu telah pecah dan terbahagi kepada dua bahagian.

Bagi yang berminat dengan cenderahati yang dibuat daripada kulit kerang dan siput serta perhiasan rantai mutiara laut, anda pasti rambang mata kerana puluhan kedai di sini menawarkannya pelbagai rekaan dengan harga yang berpatutan.

Kunjungan ke Krabi tidak lengkap jika tidak ke Pantai Au Nang. Di sebabkan tempat itu menjadi tumpuan pelancong asing, maka keadaan di sini tidak lagi kelihatan seperti Thailand kerana lambakan restoran makanan Itali, India dan Arab serta kemunculan beberapa butik mewah.

Masa lawatan di Krabi hanya sehingga pukul 5.30 petang sahaja kerana kapal akan berlayar pada jam 7 petang dan bersiap untuk makan malam gala di Restoran Four Season di atas kapal itu dalam suasana formal.

Hiburan sambil berlayar diteruskan di atas kapal apabila penumpang boleh menyaksikan persembahan oleh ahli silap mata, Charles Bach yang dibawakan khas dari Las Vegas, Amerika Syarikat.

Peserta pemenang Peraduan Kumpul dan Menang anjuran Malaysian Harmony Tour & Travel Sdn. Bhd. dan Utusan Malaysia bersama ahli keluarga yang belayar dengan kapal mewah Super Star Libra dari Pulau Pinang ke Krabi dan Phuket, Thailand, baru-baru ini.

Pada hari ketiga, kapal berlabuh di Terminal Antarabangsa Chaophaya, Phuket kira-kira jam 10 dan penumpang boleh meneroka pulau yang menjadi nadi pelancongan Thailand itu sehingga pukul 8 malam.

Tempat pertama yang dituju ialah Point of View yang mana pemandangan lautnya cukup indah dengan beberapa pulau kecil dapat dilihat.

Malah ada juga pasangan pengantin termasuk dari negara Barat mengambil peluang melakukan fotografi di situ selain puluhan replika gajah yang cukup sinonim dengan Thailand.

Rombongan seterusnya dibawa membeli-belah di Phuthai Souvenir Market yang mana barangan yang ditawarkan di situ harganya 50 peratus lebih murah daripada yang dijual di Pantai Patong.

Antara yang terdapat di sini ialah barangan perhiasan rumah, perhiasan diri dan makanan ringan yang dihasilkan oleh kaum minoriti di Chiang Mai seperti Mae Hong Song malah kain sutera Thai juga boleh didapati dengan harga RM50 sehelai.

Bagaimanapun, pemandu pelancong hanya memberikan masa selama 15 hingga 20 minit sahaja untuk membeli belah di situ kerana secara bergurau katanya, lebih lama di situ, aktiviti perniagaan di Pantai Patong bakal gulung tikar.

Di luar kompleks itu, ada penduduk tempatan yang membawa gajah dan anda boleh membeli pisang dan sayur sayuran pada harga kira-kira RM2 untuk diberi makan. Jika berani anda boleh mendekati gajah itu untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.

Satu lagi tarikan di Phuket ialah Sri Bhurapa Orchid yang terletak di Kwang Road yang mendedahkan kepada pelancong bagaimana gajus segar diproses sehingga dibungkus untuk dijual.

Di sini terdapat lebih 30 perisa gajus kering untuk dijual antaranya disalut coklat, wasabi, madu, keju, kari malah anda juga boleh mencuba jus gajus segar.

Tdak jauh dari situ, rombongan turut dibawa melawat Big Bee Farm untuk melihat lebah diternak dan bagaimana proses mendapatkan madunya dihasilkan.

Anda juga boleh membeli pelbagai produk berasaskan madu lebah di sini pada harga yang berpatutan.

Aktiviti seterusnya ialah melawat kawasan yang cukup popular di Phuket iaitu Pantai Patong yang telah mencatat pelbagai sejarah suka duka kepada industri pelancong Thailand termasuklah pernah dibadai tsunami pada 2004.

Di sepanjang pesisiran pantai ini, suasana cukup meriah dengan puluhan pusat hiburan, pusat urut, salun rambut, kedai pakaian dan cenderamata.

Di Jalan Bangla pula, terdapat sebuah stadium yang dibina untuk sukan Muay Thai iaitu satu lagi tarikan utama Phuket.

Menariknya, perlawanan tinju ini turut disertai oleh peserta dari luar negara seperti Jerman, Australia dan Kanada.

Acara promosi untuk pertandingan yang biasanya dibuat pada sebelah malam juga meriah apabila petinju dibawa berarak menaiki lori di tengah-tengah kesibukan bandar Phuket sambil bendera negara masing-masing dikibarkan.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan budaya tempatan, anda boleh mengunjungi Taman Tema Kebudayaan Phuket FantaSea yang berlatarkan elemen kebudayaan tradisi Thailand.

Pelayaran hari terakhir sekali lagi diserikan persembahan khas ‘Underwater Escape’ oleh Charles sebelum kapal berlabuh semula di Pulau Pinang kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pendek kata, kunjungan ke Krabi dan Phuket dengan menaiki Starcruise Libra menjanjikan pengalaman yang menarik dan perlu dicuba.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Aku ni Graduant Engineering dari Tingkatan 4 sampai lah Diploma, Degree dan Master. PhD je belum tentu nak sambung ke tak. Jadi, jangan aspect ayat aku macam budak Masscom yang study benda2 macam ni....lagipun ni blog personal tak ada kaitan dengan sesiapa....

8 Comments

  1. eqbal zack

    November 19, 2012 at 10:14 AM

    Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

    TAHNIAH! Anda salah seorang pemenang Giveaway http://www.eqbalzack.com.

    Sila ke blog EZ sebelum 23/11/2012, Jumaat dan isikan details di contact form untuk urusan pengeposan hadiah.

    Terima kasih.

    -eqbalzack-
    eqbal zack recently posted..Birthday gift for Eqbal Zack readers…WINNERS!!My Profile

  2. iAwani

    November 3, 2012 at 4:42 PM

    Tahniah sebab terpilih menaiki kapal ni. Bukan semua orang dapat peluang macam tu. Harus di syukuri.

  3. titan

    October 10, 2012 at 4:00 PM

    ko terpilih sebagai pemenang ker wehh?
    titan recently posted..Kena langgar dengan Keretapi PinkMy Profile

  4. Denaihati

    October 10, 2012 at 3:24 PM

    percutian atas kapal macam ni pasti best n cukup hebat. sentiasa berangin.
    Denaihati recently posted..5 Hakikat Perit dan Pahit yang Ditanggung Oleh BloggerMy Profile

  5. sweetkurma

    October 10, 2012 at 2:52 PM

    wahhh tahniah sebab terpilih untuk menyertai percutian mewah ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge