Home LIFESTYLE MISI MELENCONGKAN PLANET KECIL

MISI MELENCONGKAN PLANET KECIL

1119
1





ADAKAH benar seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak apabila asteroid jatuh ke Bumi dunia akan kiamat?
Bahkan, ramai yang membayangkan penghujung tamadun dunia bakal berakhir apabila batu dari angkasa itu jatuh ke atmosfera.
Itu semua bayangan penduduk dunia apabila kita dikejutkan dengan penemuan yang mengaitkan punca sebenar kepupusan dinosaur disebabkan oleh asteroid berukuran kira-kira 15 kilometer (km) lebar menghentam Bumi.
Penemuan terbaru itu secara tidak langsung menyangkal kajian yang dibuat oleh saintis sebelum itu mengenai kepupusan hidupan purba tersebut berpunca daripada satu siri letusan gunung berapi di India.
Lipatan sejarah juga pernah menceritakan, 65 juta tahun lalu, hentaman asteroid melanggar Bumi di Chicxulub, Mexico dengan kuasa berbilion-bilion bom atom sehingga menghapuskan lebih separuh spesies di planet Bumi termasuk dinosaur.
Akibat hentaman tersebut yang dikatakan mempunyai kekuatan bilion kali ganda berbanding bom atom di Hiroshima, ia menyebabkan mamalia menjadi spesies dominan di Bumi. Akhirnya mencetuskan insiden seperti musim sejuk secara melampau yang memusnahkan kebanyakan hidupan dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Itu cerita 65 juta tahun dahulu. Bagaimana dengan sekarang dan akan datang? Adakah manusia yang menghuni Bumi akan mengalami nasib yang sama seperti dinosaur yang telah musnah akibat hentaman asteroid?
Ancaman 2036
Pada 20 Februari 2007, Reuters melaporkan bahawa sebuah asteroid mungkin menghampiri Bumi pada tahun 2036.
Sehubungan itu, para saintis menyarankan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan misi angkasa lepas bagi melencongkannya.
Asteroid yang diberi nama Apophis itu dijangka merempuh Bumi pada 13 April 2036 sedang dipantau, malah misi untuk melencongkan asteroid sepanjang 40 meter itu dijangka menelan belanja sebanyak RM1.04 bilion.
Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia merangkap Penyelaras Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Profesor Madya Nasirun Mohd. Salleh memberitahu, asteroid kadangkala dipanggil planet kecil atau platenoid.

HENTAMAN asteroid 65 juta tahun lalu dikatakan menghapuskan separuh spesies di planet Bumi termasuk dinosaur.


Menurutnya, asteroid terbina daripada batu-batuan pejal yang tidak sempat menjadi planet semasa permulaan pembentukan sistem matahari.
“Batu-batuan pejal ini bukanlah dalam erti kata batu tetapi ia terdiri daripada batuan dan logam besi iaitu nikel. Secara umumnya permukaan asteroid terdiri daripada batuan logam sedangkan terasnya adalah besi padu. Bentuk dan saiz asteroid adalah pelbagai dan tidak mempunyai rupa yang tetap, ada yang berupa bentuk kentang dan ada yang bujur telur.
“Dakwaan mengenai asteroid tergolong daripada kumpulan planet kecil tidak benar kerana tidak semua asteroid dapat dianggap sedemikian. Terdapat lebih daripada 40,000 asteroid dikenalpasti yang melebihi satu kilometer saiz garis pusatnya, manakala saiz yang mencapai ukuran 1,000 km diameter ialah Ceres yang terletak di antara Marikh dengan Musytari yang boleh dianggap sebagai planet kerdil mengikut takrifan Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) berserta dengan planet Pluto,” katanya.
Tambah Nasirun, terdapat 16 asteroid yang melebihi saiz 240 km diameter. Kesemua asteroid tersebut berada di dalam jaluran asteroid yang terletak di antara planet Marikh dan Musytari.
“Rata-rata asteroid yang menghentam Bumi bersaiz sepuluh meter hingga 30 meter sahaja dan tidak membawa kemusnahan besar. Namun terdapat asteroid yang pernah jatuh ke Bumi bersaiz 100 meter iaitu di New York pada 2,300 tahun yang lalu.
“Kesan tsunami yang dicetusnya sangat dahsyat,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Bersekutu di Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Kibe Ak Gopir, memberitahu orang ramai tidak perlu panik dengan jangkaan Asteroid Apophis yang panjangnya menyamai Menara Kembar Petronas akan menghentam Bumi. Ini kerana peratusannya untuk menghentam Bumi pada tahun 2036 ialah 2.7 peratus dengan kebarangkalian tiga dalam satu juta.
“Asteroid besar menghentam Bumi jarang terjadi. Ia berlaku dalam tempoh berpuluh juta tahun hingga berbilion juta tahun. Kita tidak perlu risau kerana sudah ada teknologi yang membolehkan asteroid dikesan dan dipantau.
“Kedudukan asteroid sebenarnya adalah di jaluran asteroid yang terletak di antara orbit Marikh dan Musytari. Asteroid dalam jaluran berukuran dua hingga empat Unit Astronomi (UA) mengorbit matahari. Satu UA adalah bersamaan dengan 150 juta kilometer,” katanya.
Jelas Geri, terdapat beratus ribu asteroid di dalam jaluran asteroid yang mengorbit. Dalam masa yang sama ia pecah akibat berlanggar antara satu sama lain sehingga ada di antaranya terlepas daripada jajaran.
“Jika ia terkeluar dari jajaran dan ditarik oleh graviti Musytari, kita tidak perlu risau kerana ia jauh dari Bumi. Tetapi jika ia tersasar masuk ke dalam orbit Bumi, kebarangkalian ia menghentam Bumi itu ada.
“Sememangnya kita risau kejadian 65 juta tahun lalu berulang kembali.
Sebenarnya setiap hari bumi dihentam asteroid. Sesetengah fakta memberitahu, kalau dicampur-campurkan jisim asteroid itu, ia mencecah 1,000 kilogram satu hari, tapi asteroid yang kecil-kecil sahaja,” ujarnya.

ANCAMAN asteroid boleh menyebabkan tsunami besar.


Geri menambah umur Bumi sangat tua dan sentiasa berubah atau berevolusi walaupun suatu ketika dahulu Bumi banyak kali dihentam asteroid.
“Kalau nak tahu kita kena hentam, lihat sahaja jiran terdekat kita iaitu Bulan. Permukaannya berkawah-kawah dan itu bukti yang paling jelas Bulan dihentam oleh asteroid. Kenapa ia (kawah) kelihatan jelas di Bulan dan bukan di Bumi? Ini kerana Bumi mempunyai atmosfera, udara, tumbuhan dan gunung berapi yang sentiasa mengubah bentuk muka bumi kita
“Bulan tidak mempunyai atmosfera, tiada udara dan permukaannya tidak berevolusi. Jika rupa Bulan sedemikian satu bilion tahun yang lalu, begitu jugalah rupanya kini,” jelasnya.
Ditanya mengenai kepupusan dinosaur adalah disebabkan hentaman asteroid, beliau memberitahu ia merupakan salah satu teori dan pendapat itu semakin diterima sekarang sedangkan ia mula dibangkitkan sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Mengapa ia semakin diterima? Geri memberitahu suatu ketika dahulu dinosaur adalah dominan. Persoalannya bagaimana binatang yang sangat besar itu tiba-tiba pupus dan bagaimana pula binatang lebih tua di air iaitu penyu, buaya dan sebagainya boleh meneruskan survival sedangkan binatang di darat semuanya pupus?
“Apabila asteroid menghentam bumi, kemungkinan ombak naik tinggi, kebakaran besar berlaku menyebabkan semua binatang di darat pupus. Apabila kebakaran berlaku, udara menjadi toksik sehingga menyebabkan binatang tidak boleh bernafas dan tumbuhan yang menjadi sumber makanan mati.
“Kerana itulah hidupan di air seperti penyu dan buaya dapat hidup kerana haiwan tersebut berada di dalam air,” katanya.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) melalui Observatori Negara Langkawi (ONL) telah memulakan pencerapan objek angkasa khususnya komet pada tahun 2008 dan 2009. Namun untuk pencerapan asteroid secara spesifik program itu belum bermula lagi.
Pegawai Penyelidik Sains Angkasa, Mohd. Fairos Asillam, memberitahu, kebanyakan saintis percaya objek bersaiz 100 ke 500 meter diameter dapat menembusi atmosfera dan menyebabkan kemusnahan sama ada terbakar semasa memasuki atmosfera Bumi atau menghentam daratan atau lautan.
“Jika hentaman tersebut berlaku di bandar besar atau di lautan berhampiran bandar utama, ia dapat menghasilkan gelombang besar dan bakal memberi kesan berbahaya kepada manusia.
“Secara umumnya, kesan-kesan hentaman asteroid yang dapat dikenalpasti adalah pembentukan kawah besar, penyejukan atmosfera, perubahan iklim dunia akibat kotoran di atmosfera yang menghalang cahaya matahari, hujan asid, kemusnahan hasil pertanian dan tsunami,” katanya.
Mengenai ramalan impak pada masa hadapan, Mohd. Fairos memberitahu, penduduk dunia tidak perlu bimbang kerana ancaman daripada penyakit dan kemalangan sehingga menyebabkan kematian adalah lebih tinggi berbanding ancaman asteroid.
Bagaimanapun, ancaman tersebut perlu dibimbangkan dalam jangka masa panjang, namun kebarangkaliannya adalah kecil.
Sebenarnya, kira-kira 100 asteroid telah dikesan pada orbit yang menjadikannya berada hampir dengan orbit Bumi yang membolehkannya menghentam Bumi suatu hari nanti.
Ini kerana orbit asteroid berubah secara perlahan-lahan mengikut masa. Namun jika orbitnya tidak bersilang dengan Bumi, perlanggaran hanya akan berlaku dalam beribu tahun lagi.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge